Rabu, 25 Jun 2014

 9:30 PG         No comments
Bismillah dan Assalamulaikum..

Allahu Akbar dan segala puji bagi Allah yang mentakdirkan sesuatu untuk kita tanpa sia-sia, selawat dan salam buat Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda dan sahabat yang diredhai Allah SWT.

Ditakdirkan menjadi ibu berdikari adalah suatu cabaran dan bukan masalah dalam kehidupan seorang wanita. Kita perlu hadapi dan cari jalan untuk menghadapi cabaran yang hebat ini. Pengalaman selama 4 tahun ditinggalkan oleh suami tercinta buat selama-lama yang telah dijemput oleh Allah SWT benar-benar memberikan satu ujian yang mana apabila ditempuh dengan penuh kesabaran dan tanpa keluh kesah menghasilkan satu rasa syukur pada Allah SWT diuji begini.

Alhamdulillah kami bahagia diuji

Antara  3  cabaran sebagai Ibu Berdikari :

1. Fitnah.
Bergantung kepada diri untuk mengelakkan bahana fitnah di tempat kerja,masyarakat atau komuniti. Seandainya kita bijak mengikut panduan syariat etika pergaulan seperti membataskan diri daripada program percampuran antara lelaki dan perempuan. Jika terlibat pun pastikan kita dikelompok wanita dan jaga tingkah laku.Pendek kata pandai membawa diri. Jangan mudah terpengaruh dengan ajakan keluar oleh lelaki sama ada yang dikenali atau tidak. Begitu juga dengan panggilan telefon daripada kaum adam, pastikan panggilan di waktu yang sesuai dan jangan dilayan jika melibatkan hal yang terlalu peribadi dan melanggar syariat Allah SWT.

Selain itu, faktor pemakaian begitu perlu dititik beratkan. Tidak kira sebagai Ibu berdikari bahkan semua wanita sebelum melangkah keluar rumah pastikan melihat diri di cermin dan tanyakan diri adakah pakaian kita memenuhi syarat seperti yang Allah SWT dan rasul tetapkan. Pakaian ahli syurga atau sebaliknya. Sebagai penanda aras etika berpakaian kita pastikan pakaian yang kita pakai boleh atau tidak untuk dibawa bersolat..jika boleh sahlah pakaian kita berada dipiawaikan yang betul. Jika tidak secara langsung kita secara automatik mengundang fitnah.

Alhamdulillah dengan mengamalkan perkara di atas fitnah dapat dielakkan malah nampak masyarakat lebih menghormati kita berbanding menfitnah atau mengusik. Hidup memang benar selesa dan rasa terpelihara.

2.Kewangan
Semua perbelanjaan yang dahulu ditanggung berdua kini ditanggung sepenuhnya seorang diri. Cukupkah? Bayaran kereta, pinjaman rumah, pembayaran gaji pembantu rumah, pembayaran bil2 dan saraan makanan dan pakaian diri dan anak-anak yang semakin membesar. Kalau dikira dan dicongak memang tidak mencukupi, mahu sahaja kaki melangkah ke Pusat Zakat atau kebajikan masyarakat memandangkan peruntukkan ada bagi golongan yang memerlukan tetapi setakat ini masih mampu juga menanggung segalanya pasti hasil pertolongan daripada Allah SWT yang Maha Pemurah dan Maha Pemberi.

Alhamdulillah cabaran ini saya atasi dengan cara :

1. Berusaha menggunakan kemampuan dan kebolehan diri dengan menerima tempahan kuih, kek dan roti.

2. Istiqamah atau tetap menunaikan solat dhuha setiap hari.

3. Berbuat baik kepada ibu bapa. Alhamdulillah hingga kini masih tinggal serumah dengan ibu mertua dan dia memang banyak membantu walau kini ibu mertua sudah tidak berdaya berjalan tetapi masih boleh bergerak menggunakan tongkat.

4. Mengamalkan bacaan surah Al- Waqiah setiap malam mengharapkan keredhaan Allah SWT supaya dipelihara rezeki di dunia apatah lagi di akhirat.

5. Mengajak diri dan anak-anak supaya ada amalan bersedekah walau kita tidak berkemampuan dalam nilai yang banyak..kadang-kadang sekadar RM0.20 beri pada setiap 4 orang anak dan minta disampaikan pada rakan-rakannya di sekolah kerana konsep sedekah adalah makin tambah rezeki daripada pelbagai sudut. Selain itu suka kami menanam pokok betik di keliling rumah sebagai makanan untuk burung- burung setiap hari.

6. Percaya, yakin dan tawakkal bahawa soal rezeki adalah urusan Allah SWT dan Allah jamin sesiapa yang bertaqwa akan diberi rezeki tanpa disangka- sangka. Pokoknya adalah takwa kepada Allah berdasarkan surah Al-Tholaq Ayat 2

3.Pendidikan anak-anak.
Cabaran paling membahagiakan kerana peluang untuk mencorakkan anak terletak ditangan kita tanpa percampuran orang kedua di dalam rumah. Kitalah ketua dan pemimpin pada anak- anak. Pendidikan yang diterapkan mestilah berdasarkan ilmu yang kita pelajari selaras dengan Al-Quran dan Al- Sunnah. Pendidikan solat seawal usia 7 tahun .Terkesan di hati akan kebenaran hadis Nabi yang menyatakan agar anak didik solat seawal usia.Kesannya apabila menginjak ke 9 atau 10 tahun anak-anak sudah peka dan ada rasa tanggungjawab , mereka mencintai solat berjemaah dan suka solat di masjid. Terkadang malah mereka yang mengingatkan kita. Teringat anak yang kedua iaitu Hafsah Hafizah,9 tahun tergesa- gesa menerpa ke kereta usai kembali sekolah rendah agama kerana dia belum menunaikan solat asar lagi kerana kainnya terkena tahi burung. Selain itu, hasil solat berjemaah yang Ustazah praktikkan pada anak-anak berjaya mendidik anak sulung Farah Fathehah 10 tahun dan anak kedua untuk menjadi imam siap dengan bacaan doa setelah selesai solat. Ini semua tentu rahmat daripada Allah SWT.

Cabaran pembahagian masa untuk menumpukan membimbing anak-anak ketika membuat kerja sekolah dan mengulang kaji pelajaran adalah cabaran terhebat dalam hidup Ustazah. Ini kerana keterikatan waktu bekerja, kelas pengajian Al-Quran pada anak- anak jiran, memenuhi jemputan kelas pengajian di masjid selain keterlibatan untuk mencari pendapatan sampingan menerima tempahan kek dan kuih kuih sebagai sumber tampungan menyara anak-anak. Sering Ustazah memanjangkan doa agar pendidikan anak-anak dipermudahkan kerana urusan kesibukan Ustazah bukanlah untuk berseronok-seronok tetapi lebih kepada keperluan amal ma'fur kepada masyarakat. Malah Ustazah amat bersyukur kepada Allah SWT setakat ini keputusan peperiksaan anak berlegar antara top five dan sering menerima hadiah setiap hujung tahun.

Apa yang perlu bagi Ibu Berdikari malah para ibu bapa doa adalah sangat perlu dipanjatkan untuk anak-anak semoga anak mudah dilentur, diatur agar menjadi anak yang soleh dan solehah. Ibu berdikari perlu menunjukkan semangat dan contoh tauladan bagi anak- anak yang sedang membesar. Rasailah nikmat memiliki anak- anak yatim, berpeluang mengusap kepalanya setiap hari yang mana pahalanya yang kita perolehi sebanyak mana helaian rambut yang terdapat di kepala mereka.

Ustazah sentiasa berdoa bagi wanita yang menerima ujian sebagai ibu tunggal sentiasa tabah dan berusaha mengorak langkah untuk mengurus diri dan anak-anak. Allah mahu kita bergantung hidup kepada Nya dan yakinilah ayat 5 surah Al-Fatehah yang bermaksud " Hanya kepada Mu yang kami Sembah dan kepada Mu kami mohon pertolongan".

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Hadith Pilihan

Sahabat Blog

Jom Kita Bersilaturrahim