Selasa, 20 Mei 2014

 10:41 PG         4 comments
Bismillah dan Assalamualaikum

Alhamdulillah kita punyai zuriat atau anak. Bagi yang belum mempunyai zuriat berusahalah dan pasti Allah swt memberikan suatu ujian berdasarkan kemampuan kita. Ustazah diterjah lagi dengan soalan mengapa jiwa atau rohani anak zaman ini kosong sehinggakan seperti mereka belajar tetapi hanya mengharapkan lulus periksa dan mendapatkan pekerjaan.

Untuk menjawab soalan itu cuba dahulu kita hayati mesej terakhir Rasulullah SAW. Lebih 10,000 para jemaah berkumpul. Terik matahari Arafah tidak mengundurkan langkah penduduk yang bersatu kerana Allah. Rasulullah berdiri membicarakan khutbah Baginda yang terakhir.

Puji-pujian kepada Allah kedengaran, sejurus itu, Rasulullah berpesan, maksudnya : "Wahai umat ku, hayati kata-kataku.Aku tidak tahu sama ada masih mampu atau tidak bertemu kamu semua selepas tahun ini, Dengarlah dengan teliti dan sampaikan kepada yang tidak hadir pada hari ini."
Mari kita teliti antara mesej-mesej terakhir Rasulullah SAW :

Mesej 1: Bercinta dengan Al-Quran dan Sunnah.
Meneliti mesej yang terkandung dalam kedua-dua sumber Islam, Al-Quran dan sunnah serta mengamalkan segala isi kandungannya untuk kesejahteraan hidup dunia akhirat.

Mesej 2: Memperkemaskan bukti cinta.
Hamba yang patuh dan cinta pada Penciptanya akan selalu beristiqamah mencintai Allah, memperbaiki kualiti solat, memperbanyakkan puasa, menunaikan zakat dan mengerjakan haji jika

 mampu. Setiap muslim juga wajar memperindahkan hubungan sesama muslim yang lain.

Mesej 3: Berwaspada dengan musuh hakiki.
Syaitan merupakan musuh hakiki yang gigih menyerang keselamatan dan keimanan orang Islam secara zahir dan batin. Syaitan tidak akan berputus asa untuk menyesatkan muslim yang Mukmin dalam perkara yang besar, jadi berhati-hatilah agar tidak terjatuh pula dalam perangkapnya yang menghasut dalam perkara yang kecil.

Mesej 4 : Memperhebatkan takwa
Setiap jiwa pasti akan bertemu Rabbnya dan akan dipersoalkan mengenai segala amal perbuatan yang dilakukan. Awasi kehidupan agar tidak terkeluar daripada landasan yang sebenar.Kita adalah sama dan tiada perbezaan di sisi Nya. Takwa dan amal soleh, itu kayu ukur sebenar kita dihadapan Nya.

Jika kita mengabaikan mesej daripada Rasulllah SAW di atas bukan jiwa anak sahaja yang kosong malah kita ibu bapa juga begitu.

Ini pula adalah berdasarkan pendapat ustazah yang masih sentiasa belajar. Sama-sama kita kongsikan pendapat. Antara faktor penyebab jiwa anak ini kosong ialah :

Pendidikan Ibu bapa.
Ibu bapa adalah guru pertama anak. Kita semak semula bagaimana proses pendidikan yang telah diberikan kepada anak bermula daripada pemilihan pasangan sebelum berkahwin,ketika anak dalam kandungan dan pendidikan seawal bayi hingga dewasa. Penerapan pendidikan seperti solat  bermula seawal 7 tahun dan 10 tahun jika tidak solat sudah boleh dipukul dengan tujuan mendidik. Seorang ibu dan ayah wajib ada pendidikan untuk mendidik anak.
 Mereka adalah contoh dan teladan paling dekat. Bagaimana anak mahu solat berjemaah di masjid
 jika bapanya sendiri terlalu jarang solat di masjid melainkan solat Jumaat? Begitu juga soal aurat lelaki dan perempuan, Jika ibunya sahaja sudah biasa berseluar ketat dan keluar tanpa bertudung bagaimana anak mahu mendapat dorongan. Pengisian jiwa perlu kepada solat, membaca Al-quran, majlis ilmu dan zzikrullah malah selawat ke atas Nabi. Baca al-quran setiap hari di rumah bagi ibu bapa pasti anak akan terdorong sama untuk mengaji.
Iqra @ bacalah untuk proses menguakan jiwa dan rohani

Sistem Pendidikan di negara kita
Amat -amat berharap mata pelajaran Pendidikan Islam dan Bahasa Arab adalah mata pelajaran wajib bagi setiap peperiksaan awam di negara kita seperti UPSR, PT3 dan SPM, tetapi hal ini tidak berlaku. Sebaliknya yang wajib lulus B. Melayu, B.Inggeris Matematik dan lain-lain. Itu sebabnya sekarang ramai ibu bapa mahu menghantar anak ke sekolah agama berbanding sekolah SMK sebab mahu anaknya jadi orag yang baik. Akibatnya mereka ambil lewa terhadap mata pelajaran tersebut apatah lagi B. Arab yang merupakan Bahasa bagi memahami Al-Quran. 

Faktor persekitaran.
Ada anak walaupun ibu bapanya kurang memberikan pendidikan formal dengan baik tetapi anak tersebut berjaya mendidik diri melalui ilmu yang diperolehi. Sebaliknya malah ramai pula yang gagal, ibu bapa kurang peduli dan anak tidak tahu menggunakan atau mengamalkan ilmu yang diperolehi. Persekitan kita pada masa ini memerlukan kekuatan jiwa dan ilmu untuk menghadapi cabaran masa kini. Kita tahu, sebagai seorang Islam musuh kita terdiri daripada nafsu diri sendiri malah syaitan yang tidak akan berhenti meghasut hingga kita mengikut telunjuknya serta serangan pemikiran dan budaya orang yahudi atau kafir.

Hiburan terlalu banyak sama ada melalui media sosial atau media cetak. Syarikat-syarikat media lebih memikirkan keuntungan berbanding membentuk jiwa rohani masyarakat. Umpamanya yang membina dan membangun jiwa terlalu sedikit dan yang mahu meruntuhkan terlalu ramai. Adakah program maharaja lawak, superstar dan acara hiburan lain makin menguatkan jiwa anak kita.

Sebagai langkah ibu bapa, letakkanlah dan sekolahkanlah anak yang mempunyai persekitan yang boleh membantu jiwa dan rohani anak. Peduli dan ambil tahu dengan siapa anak kita berkawan, apa bahan bacaannya dan kerap kali periksa telefon bimbitnya.


Gagal mengamalkan ilmu yang dipelajari
Kita bersekolah, mendengar majlis ilmu dan menuntut ilmu tetapi gagal untuk mengamalkan ilmu tersebut. Apatah lagi ilmu yang berkaitan ilmu agama dan ukhrawi. Cuba sedaya mungkin mengamalkan ilmu tersebut, sedikit yang penting sentiasa dilakukan atau istiqamah. Hasilnya ilmu yang diamalkan berjaya menjadi perisai diri daripada cabaran yang mendatang dengan mempunyai jati diri yang kukuh dan bertindak gaya orang yang beriman. Kembalilah kita satu keluarga membentuk diri orang yang berilmu, beramal dan beriman agar terhasil masyarakat yang berlandaskan Al-Quran dan Assunnah.

Akhirnya, kita tidak mampu untuk merubah orang lain tetapi kita ada daya dan mampu untuk merubah diri sendiri ke arah yang lebih baik. Jangan tunggu atau bandingkan dengan orang lain. Kita perlu ada pelan tindakan untuk mengisi jiwa dan rohani kita yang kelaparan dengan makan rohani iaitu dengan menservis hati yang sakit dengan :

1. Rajin berzikir dan membaca Al-Quran.
2. Sentiasa mengingati mati .
3. Menziarahi orang miskin.
4. Menziarahi orang sakit.
5.Banyakkan menghadiri majlis ilmu.
6.Mendampingi orang yang berilmu atau ulama
7.Perbanyakkan selawat.
8. Berdoa pada Allah SWT .
9. Rajin ke masjid dan solat berjemaah
10. Perbanyakkan solat taubat dan istighfar.

Bersama kita usaha mencontohi akhlak dan keperibadian Rasulullah SAW yang sentiasa bermuhasabah diri serta bertaubat walaupun Allah SWT telah menjanjikannya syurga. Kita bagaimana?

Barakallahu li wa lakum..



4 ulasan:

  1. terima kasih ustazah atas perkongsian

    jadi ibu bapa zaman sekarang hebat cabarannya

    BalasPadam
  2. Terima kasih kongsikan..tu la..saya pun sekarang ni rasa macam jiwa ni ada somtehing wrong aje..emmm

    BalasPadam
  3. setuju dengan ustazah wajibkan belajar b arab disekolah rendah bagi yang beragama Islam. terima kasih perkongsiannya ustazah, mudahan kita dapat mendidik yang terbaik buat anak-anak kita.

    BalasPadam
  4. perkongsian yang amat bermanfaat..

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Hadith Pilihan

Blog Archive

Sahabat Blog

Jom Kita Bersilaturrahim