Sabtu, 31 Mei 2014

Bismillah dan Assalamualaikum 

Alhamdulillah Pihak Lembaga Peperiksaan telah mengeluarkan Draf 1 Jadual Waktu Peperiksaan SPM 2014 sebagai rujukan awal kepada guru-guru dan calon SPM 2014 bagi menghadapi peperiksaan tersebut. Oleh yang demikian, kita boleh bersedia daripada awal agar bersedia dengan penuh yakin untuk menjawab kertas soalan mengikut subjek yang di ambil.

Bagi yang mahu menyemak atau mencetak draf tersebut bolehlah klik link di bawah :


Pada draf ini belum dimaklumkan lagi tarikh dan hari, sekadar mata pelajaran dan masa menjawab sahaja yang dipaparkan. In sha Allah akan ustazah update setelah jadual lengkap dikeluarkan.

Jumaat, 30 Mei 2014

Bismillah dan Assalamualaikum

Alhamdulillah makin seronok pula berblog sekarang. Thank You Nuffnang kerana akhirnya memberi juga pada blog kerdil ini CPUV pertama Oreo Better Together dan kedua DiGi - WWWOW 2014 setelah hampir setahun setengah berblog . CPUV yang pertama hanya tahan beberapa hari sahaja. Maklumlah traffic pun biasa-biasa sahaja itulah agaknya tidak bertahan lama. Selang beberapa hari masuk pula CPUV kedua. Cash out pun sudah boleh jika mahu, tetapi biar dahululah.

Memang benar kata- kata blogger yang sudah berpengalaman bahawa kita perlu banyak bersabar dan berusaha dalam arena blog ini. Ustazah hanya santai- santai sahaja dengan blog ini untuk berkongsi pengalaman, ilmu dan silaturrahim, semoga apa yang kita lakukan ini memberi manfaat pada diri dan orang lain untuk bekalan kehidupan dunia malah di akhirat sana.

Baiklah kita sama-sama berusaha dalam menyebarkan ilmu melalui blog ini. Catatkanlah yang baik kerana semua ada penilaiannya. In Sha Allah akan terus belajar lagi dalam arena blogging ini.
Bismillah dan Assalamualaikum

Alhamdulillah time cuti sekolah ini dapatlah Ustazah masak tengahari untuk anak-anak dan ibu mertua. Menu hari ini mudah sahaja , sayur rebus bayam dan ayam goreng berempah kari..emm sedapnya walau ringkas.

Ayam goreng rempah kari ini amat mudah disediakan dan rasanya berlainan jika dibandingkan ayam goreng berkunyit sahaja. Ada rasa spice dan aromanya sungguh menyelerakan . Bagi yang baru berjinak-jinak mahu belajar masak macam anak Ustazah boleh ikut resepi yang amat simple dan mudah ini. Anak-anak pun amat suka, belum time makan sudah dimakan begitu sahaja.

Ayam Goreng Berempah Kari Ikan & Udang Baba's

1/2 ekor ayam dipotong sederhana
2 sudu makan rempah kari ikan dan udang Baba's
Serbuk kunyit secukupnya
Garam secukup rasa

- Gaulkan semua bahan di atas dan perap seketika barulah digoreng dengan minyak yang panas. Kecilkan sedikit api kerana jika terlalu besar akan mengakibatkan kelihatan hagus ayam tu nanti.

Mudahkan, selamat mencuba.

Barakallahu li wa lakum.i

Khamis, 29 Mei 2014

Bismillah dan assalamualaikum

ALHAMDULILLAH atas segala nikmat ketenangan dan kebahagiaan. Jom tambah lagi kebahagiaan dengan beusaha memenagi RM100,000 melalui peraduan Yeo's yang bermula pada 13 Mac 2014 hingga 31 Mei 2014. Tinggal 4 hari lagi utuk kita sertai peraduan ini. Keputusan hari ini, seorang rakan Ustazah,Cik Ra berjaya mendapat RM100 melalui hadiah harian. Ustazah yang sibuk promote dan alhamdulillah rezeki beliau. Selain itu Aju dan Hanim Hashim juga pernah bertuah memenagi RM100 dan sebuah ipad. Banyak kali juga Ustazah menghantar penyertaan tetapi masih belum ada rezeki lagi. Jangan putus asa..

Menghargai anak murid belanja kek dan air kotak Yoe's
Siapa sahaja yang tidak mahukan wang secara santai-santai. Anak siap bertanya jika emak menang peraduan ini, mahu dibelanjakan ke mana wang tersebut. Antara 5 jawapan Ustazah ialah mahu :

1. Bawa sekeluarga ke Mekah.

2. Belanja ibu ayah, ibu mertua, keluarga ,sahabat ,kenalan dan anak murid.

3.Tambah sedikit rumah untuk ruang bengkel bakeri dan kelas pengajian Al-Quran.

4. Beli peralatan bakeri terutamanya oven yang besar untuk kapasiti yang banyak.

5. Membantu mereka yang memerlukan/sedekah jariah/waqaf.

Ceriakan anak-anak murid Ustazah ditambah dengan air minuman Yoe's

Maklumat lajut berkaitan peraduan ini sila klik di

Jangan lupa  follow :

Instagram :@yoesmalaysia

WeChat ID : @yoesmalaysia

 Semoga berjaya bagi yang berusaha dalam peraduan ini.

Pilihan Semulajadi
Stok dalam peti sejuk






Bismillah dan Assalamualaikum 
Alhamdulillah cuti kali ini anak sulong Farah dapat menyertai camping Badan Pengawas dan Pustakawan anjuran Sekolah Kebangsaan Tebuk Jawa.

Pada malam sebelum bertolak,sibuk anak mengemas barangnya dan Ustazah pula sibuk di dapur menyiapkan tempahan kuih talam berlauk udang. Sempatlah juga membelikan sedikit makanan ringan untuk dibawa dan makan bersama rakan-rakannya. Mesti seronokkan dapat berkhemah dan pasti akan bersembang hingga ralut malam.

Dari kiri : Farah, Aina dan Elis
Ustazah rasa lega sebab kakak Ipar Mak Bonda ikut serta dalam program ini kerana beliau mengajar di Sekolah tersebut. Dapatlah beliau memastikan keselamatan anak-anak dan gambar ini pun beliau yang hantar melalui WhatsApp.Adik-adiknya pun naik cemburu dan menuntut ajak makan di KFC.

Ustazah amat kagum dengan semangat guru-guru di SK Tebuk Jawa kerana mereka sanggup berkorban kewangan dan tenaga untuk menjayakan camping ini. Kita ibu bapa mesti menyangka program begini mudah tetapi sebagai seorang guru kita amat memahami pasti ada pelbagai cabaran. Cikgu berkorban masa dan kewangan untuk makan dan duit minyak kenderaan, sungguh Ustazah amat terharu dan mendoakan agar Guru Besar yang aktif beserta guru-guru yang berdedikasi diberi ganjaran kebaikan yang hebat oleh Allah SWT. Mereka berkorban meninggalkan anak dan keluarga demi kejayaan anak-anak kita subhanallah..

Dengar arahan cikgu ye
Ustazah juga amat berharap agar anak murid yang menyertai pogram ini, menghargai jasa guru dan praktikkan ilmu yang diperolehi. Pengalaman bercamping di sini pasti menjadi satu kenangan indah dalam hidup anak Ustazah. Teringat dengan pengalaman kita yang sudah beberapa kali menyertai camping sebegini.


Replika Buaya








Sesi apa la ni agaknya..

Harap dipermudahkan urusan

Bagus juga tempat ini





Selasa, 27 Mei 2014

Bismillah dan Assalamualaikum

Alhamdulillah syukur atas segala nikmat dalam kehidupan. Selesai solat subuh, mula terfikir mahu buat sarapan apa pagi ini untuk sarapan anak-anak. Kali ini, buat mee sup mudah sahaja. Walau pun pagi tidak mengapalah, anak-anak pula bukanlah terdiri daripada anak yang cerewet. Mereka akan makan dan sering diajar agar bersyukur dengan apa yang ada.

Sedap ni..he2, dimasak dengan penuh kasih sayang
Siapa yang mahu cuba resepi ini, dipersilakan :

Mee Sup

10 ulas bawang merah
6 ulas bawang putih
1cm halia
( bahan di atas ditumbuk halus atau dihiris )

Sedikit ayam, sawi, sebiji tomato,lobak merah, daun sop,fish ball dan fish kek.

1 bungkus mee kuning
2 ketul kiub ayam
Sedikit lada sulah
Garam secukup rasa
3000 ml air
Sedikit minyak untuk menumis.

Cara memasak.

1. Tumiskan bawang hingga naik bau dan masukkan sedikit lada sudah.
2. Masukkan ayam hingga nampak layu kemudian masukkan fish kek dan fish ball serta lobak merah.Letaklah air sedikit. Biarkan seketika.
3. Masukkan pula air rebus hingga mendidih dan letakkan garam secukupnya.
4. Akhir sekali masukkan mee beserta daun sawi,tomato dan tunggu hingga mendidih lagi.
5. Siap untuk dihidang.

Alhamdulillah selera sungguh anak-anak makan, jika arwah suami masih ada pun mesti dia suka. Semoga abang tenang di sana dan kami telah hadiah surah Yasin untuknya setiap pagi...

Barakallahuli wa lakum..


Sabtu, 24 Mei 2014

Bismillah dan Assalamualaikum

Alhamdulillah pada hari malam Khamis ada buat peraduan mudah di group wharsapp dengan memberi hadiah Kek Cheese Meleleh pada yang berjaya menjawab dengan tepat. Pemenangnya Ciklaili dan Cikra. Alhamdulillah berkat memberi yang amat sedikit pada keesokannya iaitu malam Jumaat, Ustazah mendapat sms daripada Denaihatinetwork menyatakan bilion terima kasih kerana sertai cabaran komen terbanyak Denaihati. Selain itu beliau meminta nama penuh, nombor akaun bank dan butiran lain sedikit. Alhamdulillah nampaknya ada rezeki baik ini.
Alhamdulillah..

Keesokkannnya pula dapat sms lagi dan menyatakan bahawa Ustazah menang " Cabaran Komen terbanyak Denaihati" dan tajuk entri Ustazah ialah Jasa Deaihati Merealisasikan Impian Blogger. Syukur sangat dapat RM200 tunai dan ini adalah kali ketiga dapat token tunai daripada beliau. Tersenyum syukur dan Ustazah doakan semoga Tuan denaihati.com semakin dimurahkan rezeki.

"Ya Allah perbanyakkan hartanya dan anak-anaknya, luaskanlah rumahnya, berkatikanlah kesemua kurnian Mu kepadanya, perbaikikanlah amalannya, ampunkan dosanya"

Pasti ada blogger lain juga yang bertuah dan tahniah Ustazah ucapkan. Hendaknya adalah contest mudah lagi daripada Tuan Denaihati untuk kita sertai. He he..Ustazah ni suka contest yang mudah-mudah je.

Barakallahuli walakum..


Khamis, 22 Mei 2014

Bismillah dan Assalamualaikum

Alhamdulillah atas segala nikmat dan selawat serta salam buat Junjungan Nabi Muhammad SAW serta ahli keluarga dan sahabat yang diredhai Allah SWT.

Sibuk melayan pelajar di koperasi tiba-tiba seorang pelajar menghulurkan sekeping sampul surat tertera nama Ustazah. Ingatkan kad jemputan kahwin rupa-rupanya kad ucapan selamat hari guru. Kawan di sebelah Ustazah pun dapat juga tetapi yang membuatkan beliau cemburu kerana ada gambar comel Ustazah memakai topi sedangkan pada kad beliau tiada. He he .. Mesti anak murid ini ambil daripada galeri FB Ustazah.

Nama anak murid Ustazah yang memberi kad ucapan itu ialah Safura dan amat kasihan pada dia kerana ada mengalami sakit yang kerap pengsan di sekolah. Boleh katan setiap minggu pasti ambulans akan datang ke sekolah untuk menghantarnya ke hospital. Check up telah dilakukan dan tiada sebarang masalah, bapanya menyatakan tidak lama lagi akan ke hospital untuk scan bahagian kepala. Ustazah doakanlah semoga ia terus sihat dan sembuh daripada penyakitnya yang tidak diketahui laginya statusnya.

Selain itu, atas meja pula terdapat satu kotak hadiah lagi dan di dalamnya ada sebuah mug tertera nama ahli Parlimen Sabak Bernam Tuan Hj Mohd Fasiah Bin Mohd Fakeh. Oh! Alhamdulillah dan jazakallahu khairan kathira atas ingatan dan kiriman hadiah ini.

Sebenarnya, kami guru-guru amat berterima kasih atas segala pemberian daripada pelbagai pihak dan amat mengharapkan apa yang kami ajar dan curahkan kepada anak murid dapat membentuk diri mereka daripada segi akademik dan sahsiah yang unggul bahagia dunia akhirat.
Kami cuba sedaya upaya mengajar dan mendidik semata-mata kerana Allah SWT...

Barakallahu li wa lakum

Rabu, 21 Mei 2014

Bismillah dan Assalamualaikum

Alhamdulillah akhirnya PBS ada penambahbaikan. Ustazah amat lega kerana peperiksaan bertulis telah diadakan semula untuk menilai prestasi murid. Untuk makluman ibu bapa, keputusan PBS anak-anak kita bolehlah disemak mulai peperiksaan pertengahan tahun ini. Semakan boleh dilakukan dengan klik link berikut:

Sila Pilih Semakan Ibu Bapa


Semakan boleh dilakukan bermula penghujung Jun 2014, dan gambar di bawah adalah slip keputusan anak Ustazah yang kini berada di tahun 2. Walau pun gambar di atas memaklumkan keputusan tahun 3 ke atas dan tingkatan 2&3 sahaja yang boleh di semak, tetapi bagi tahun 1 dan 2 serta tingkatan 1 tetap boleh di buka dengan mengikut menu di atas.


Jom. semak keputusan masing-masing.


Selasa, 20 Mei 2014

Bismillah dan Assalamualaikum

Alhamdulillah kita punyai zuriat atau anak. Bagi yang belum mempunyai zuriat berusahalah dan pasti Allah swt memberikan suatu ujian berdasarkan kemampuan kita. Ustazah diterjah lagi dengan soalan mengapa jiwa atau rohani anak zaman ini kosong sehinggakan seperti mereka belajar tetapi hanya mengharapkan lulus periksa dan mendapatkan pekerjaan.

Untuk menjawab soalan itu cuba dahulu kita hayati mesej terakhir Rasulullah SAW. Lebih 10,000 para jemaah berkumpul. Terik matahari Arafah tidak mengundurkan langkah penduduk yang bersatu kerana Allah. Rasulullah berdiri membicarakan khutbah Baginda yang terakhir.

Puji-pujian kepada Allah kedengaran, sejurus itu, Rasulullah berpesan, maksudnya : "Wahai umat ku, hayati kata-kataku.Aku tidak tahu sama ada masih mampu atau tidak bertemu kamu semua selepas tahun ini, Dengarlah dengan teliti dan sampaikan kepada yang tidak hadir pada hari ini."
Mari kita teliti antara mesej-mesej terakhir Rasulullah SAW :

Mesej 1: Bercinta dengan Al-Quran dan Sunnah.
Meneliti mesej yang terkandung dalam kedua-dua sumber Islam, Al-Quran dan sunnah serta mengamalkan segala isi kandungannya untuk kesejahteraan hidup dunia akhirat.

Mesej 2: Memperkemaskan bukti cinta.
Hamba yang patuh dan cinta pada Penciptanya akan selalu beristiqamah mencintai Allah, memperbaiki kualiti solat, memperbanyakkan puasa, menunaikan zakat dan mengerjakan haji jika

 mampu. Setiap muslim juga wajar memperindahkan hubungan sesama muslim yang lain.

Mesej 3: Berwaspada dengan musuh hakiki.
Syaitan merupakan musuh hakiki yang gigih menyerang keselamatan dan keimanan orang Islam secara zahir dan batin. Syaitan tidak akan berputus asa untuk menyesatkan muslim yang Mukmin dalam perkara yang besar, jadi berhati-hatilah agar tidak terjatuh pula dalam perangkapnya yang menghasut dalam perkara yang kecil.

Mesej 4 : Memperhebatkan takwa
Setiap jiwa pasti akan bertemu Rabbnya dan akan dipersoalkan mengenai segala amal perbuatan yang dilakukan. Awasi kehidupan agar tidak terkeluar daripada landasan yang sebenar.Kita adalah sama dan tiada perbezaan di sisi Nya. Takwa dan amal soleh, itu kayu ukur sebenar kita dihadapan Nya.

Jika kita mengabaikan mesej daripada Rasulllah SAW di atas bukan jiwa anak sahaja yang kosong malah kita ibu bapa juga begitu.

Ini pula adalah berdasarkan pendapat ustazah yang masih sentiasa belajar. Sama-sama kita kongsikan pendapat. Antara faktor penyebab jiwa anak ini kosong ialah :

Pendidikan Ibu bapa.
Ibu bapa adalah guru pertama anak. Kita semak semula bagaimana proses pendidikan yang telah diberikan kepada anak bermula daripada pemilihan pasangan sebelum berkahwin,ketika anak dalam kandungan dan pendidikan seawal bayi hingga dewasa. Penerapan pendidikan seperti solat  bermula seawal 7 tahun dan 10 tahun jika tidak solat sudah boleh dipukul dengan tujuan mendidik. Seorang ibu dan ayah wajib ada pendidikan untuk mendidik anak.
 Mereka adalah contoh dan teladan paling dekat. Bagaimana anak mahu solat berjemaah di masjid
 jika bapanya sendiri terlalu jarang solat di masjid melainkan solat Jumaat? Begitu juga soal aurat lelaki dan perempuan, Jika ibunya sahaja sudah biasa berseluar ketat dan keluar tanpa bertudung bagaimana anak mahu mendapat dorongan. Pengisian jiwa perlu kepada solat, membaca Al-quran, majlis ilmu dan zzikrullah malah selawat ke atas Nabi. Baca al-quran setiap hari di rumah bagi ibu bapa pasti anak akan terdorong sama untuk mengaji.
Iqra @ bacalah untuk proses menguakan jiwa dan rohani

Sistem Pendidikan di negara kita
Amat -amat berharap mata pelajaran Pendidikan Islam dan Bahasa Arab adalah mata pelajaran wajib bagi setiap peperiksaan awam di negara kita seperti UPSR, PT3 dan SPM, tetapi hal ini tidak berlaku. Sebaliknya yang wajib lulus B. Melayu, B.Inggeris Matematik dan lain-lain. Itu sebabnya sekarang ramai ibu bapa mahu menghantar anak ke sekolah agama berbanding sekolah SMK sebab mahu anaknya jadi orag yang baik. Akibatnya mereka ambil lewa terhadap mata pelajaran tersebut apatah lagi B. Arab yang merupakan Bahasa bagi memahami Al-Quran. 

Faktor persekitaran.
Ada anak walaupun ibu bapanya kurang memberikan pendidikan formal dengan baik tetapi anak tersebut berjaya mendidik diri melalui ilmu yang diperolehi. Sebaliknya malah ramai pula yang gagal, ibu bapa kurang peduli dan anak tidak tahu menggunakan atau mengamalkan ilmu yang diperolehi. Persekitan kita pada masa ini memerlukan kekuatan jiwa dan ilmu untuk menghadapi cabaran masa kini. Kita tahu, sebagai seorang Islam musuh kita terdiri daripada nafsu diri sendiri malah syaitan yang tidak akan berhenti meghasut hingga kita mengikut telunjuknya serta serangan pemikiran dan budaya orang yahudi atau kafir.

Hiburan terlalu banyak sama ada melalui media sosial atau media cetak. Syarikat-syarikat media lebih memikirkan keuntungan berbanding membentuk jiwa rohani masyarakat. Umpamanya yang membina dan membangun jiwa terlalu sedikit dan yang mahu meruntuhkan terlalu ramai. Adakah program maharaja lawak, superstar dan acara hiburan lain makin menguatkan jiwa anak kita.

Sebagai langkah ibu bapa, letakkanlah dan sekolahkanlah anak yang mempunyai persekitan yang boleh membantu jiwa dan rohani anak. Peduli dan ambil tahu dengan siapa anak kita berkawan, apa bahan bacaannya dan kerap kali periksa telefon bimbitnya.


Gagal mengamalkan ilmu yang dipelajari
Kita bersekolah, mendengar majlis ilmu dan menuntut ilmu tetapi gagal untuk mengamalkan ilmu tersebut. Apatah lagi ilmu yang berkaitan ilmu agama dan ukhrawi. Cuba sedaya mungkin mengamalkan ilmu tersebut, sedikit yang penting sentiasa dilakukan atau istiqamah. Hasilnya ilmu yang diamalkan berjaya menjadi perisai diri daripada cabaran yang mendatang dengan mempunyai jati diri yang kukuh dan bertindak gaya orang yang beriman. Kembalilah kita satu keluarga membentuk diri orang yang berilmu, beramal dan beriman agar terhasil masyarakat yang berlandaskan Al-Quran dan Assunnah.

Akhirnya, kita tidak mampu untuk merubah orang lain tetapi kita ada daya dan mampu untuk merubah diri sendiri ke arah yang lebih baik. Jangan tunggu atau bandingkan dengan orang lain. Kita perlu ada pelan tindakan untuk mengisi jiwa dan rohani kita yang kelaparan dengan makan rohani iaitu dengan menservis hati yang sakit dengan :

1. Rajin berzikir dan membaca Al-Quran.
2. Sentiasa mengingati mati .
3. Menziarahi orang miskin.
4. Menziarahi orang sakit.
5.Banyakkan menghadiri majlis ilmu.
6.Mendampingi orang yang berilmu atau ulama
7.Perbanyakkan selawat.
8. Berdoa pada Allah SWT .
9. Rajin ke masjid dan solat berjemaah
10. Perbanyakkan solat taubat dan istighfar.

Bersama kita usaha mencontohi akhlak dan keperibadian Rasulullah SAW yang sentiasa bermuhasabah diri serta bertaubat walaupun Allah SWT telah menjanjikannya syurga. Kita bagaimana?

Barakallahu li wa lakum..



Bismillah dan Assalamualaikum

Alhamdulillah, ustazah bersyukur sangat dengan menulis blog banyak perkara yang boleh kita kongsi pada para pembaca. Kali ini, Ustazah mendapat soalan daripada group whatsapp yang mahukan ayat Al-Quran untuk mudahkan urusan temuduga. Maafkan ustazah lambat menjawab kerana rutin harian yang sibuk apatah lagi anak2 ketika ini perlu ditemankan untuk mengulangkaji kerana peperiksaan pertengahan tahun sedang berjalan disamping menyiapkan tempahan kek.

Baiklah, Satu amalan ringkas ketika keluar rumah setiap hari agar urusan kita dipermudahkan amalkan doa ini :

" Li redhaAllah.. Subhanaka inni kuntu minazhalimin.." < untuk menuntut keredhaan Allah..Maha Suci Engkau( Allah )sungguh aku ini orang-orang yang zalim>

Doa di atas ustazah perolehi daripada pensyarah semasa di Maktab dan katanya guru pondoknya mengamanahkan agar doa tersebut diamalkan setiap hari semasa keluar rumah. Fadhilatnya semoga kita niatkan segala perbuatan kita pada hari tersebut semata-mata mengharapkan redha Allah SWT dan kita mengiktiraf Allah SWT Maha Suci dan kita mengakui yang diri kita ini memang kerap berbuat kezaliman. Setelah diamalkan akan memberi kesan urusan kita sentiasa mudah, orang yang mendengar hujah atau pendapat kita sentiasa bersetuju dengan idea yang diutarakan. Ustazah memang amalkan ayat di atas dan Subhanallah memang berkesan.

Selepas itu, jika kita mahu menghadiri temuduga perbanyakkan membaca ayat daripada surah Ali-Imran ayat 173 bermula daripada " Hasbunallah wa ni'mal wakil "..ulang banyak kali, ayat ini merupakan satu penyerahan malah kepercayaan tauhid kita pada Allah SWT yang Maha Membantu urusan kita..harapan agar penemuduga kita berhati lembut dan boleh menerima jawapan kita. Bukankah hati mereka Allah yang jaga jadi kita pohon dan serahkan pada Allah SWT. Yakinlah seyakin yakinnya.

Pendek dan mudah dihafaz ayat tersebut.

Satu kisah, terjadi pada diri Ustazah yang perlu menghadiri temuduga perlantikan sebagai guru tetap di SPP Putrajaya. Entah mengapa, nama Ustazah lewat sungguh untuk ditemuduga so nama kawan sahaja yang naik. Maka sibuklah Ustazah mengkhabarkan pada mereka tentang tarikh dan masa temuduga. Tup tup bila nama Ustazah naik, ustazah tidak semak pun maka tidak tahulah akan temuduga tersebut. Seperti biasa pergi sekolah dan ketika jam 8.00'pagi, pegawai SPP telefon dan menyatakan sepatutnya Ustazah sudah berada di SPP Putrajaya untuk ditemuduga..Masya Allah..bagaimana ini? Daripada Sabak Bernam ke Putrajaya memakan masa 3 jam lebih kurang..menangis memang menangis..

Syukur alhamdulillah segala dokumen telah Ustazah sediakan sebab sudah tahu memang bila-bila masa sahaja akan ditemuduga dan alhamdulillah juga diberi tempoh untuk sampai ke Putrajaya sebelum pukul 12.00 tengahari. Memandu laju dan cuba bertenang dengan membaca ayat di atas tidak putus-putus. Akhirnya sampai juga sebelum pukul 12.00 walau tidak tahu selok belok Putrajaya dan bangunan SPP, hanya berpandukan alamat dan pasti daripada bantuan Allah SWT.

Ketika mahu ditemuduga oleh 2 panel seorang berpangkat Dato', Ustazah lupa siapa namanya dan seorang lagi adalah guru cemerlang daripada Johor..mereka tersenyum dan katanya tidak perlulah tanya soalan yang berat sebab mesti kurang bersedia kerana tidak tahu pun hari ini akan ditemuduga. Mereka juga menyatakan inilah kali pertama mereka menunggu orang yang hendak ditemuduga berbanding selalunya calonlah yang menunggu mereka.

Tidak sudah- sudah Ustazah ucapkan terima kasih atas jasa baik mereka kerana sudi menunggu daripada awal pagi sedangkan calon yang mahu ditemuduga adalah 2 orang sahaja. Amat bersyukur pada Allah SWT kerana urusan telah dipermudahkan dan lulus juga dalam temuduga tersebut.

Selain itu, janganlah lupa untuk bersolat hajat, minta doa ibu bapa dan rakan sejawat agar mudah urusan kita bertemuduga.

Baiklah Ustazah sudah mengantuk , mahu membaca surah mulk sebelum tidur ..semoga Allah mudahkan segala urusan kita selalu dan menjadi harapan Ustazah agar entri ini dapat membantu sesiapa yang ingin menghadiri temuduga.

Barakallahu li wa lakum ..


Isnin, 19 Mei 2014

Bismillah dan Assalamualaikum

Alhamdulillah semakan untuk  Semakan Keputusan Panggilan Temu Duga bagi Lepasan STPM/Setaraf Sesi Akademik 2014/2015 boleh di semak melalui link di bawah :     


Selamat maju jaya untuk menuntu ilmu.



Bismillah dan Assalamualaikum

Alhamdulillah kali ini berjaya menghasilkan kek Red Velvet yang sedap dan hasil yang memuaskan berbanding sebelum ini. Maklumlah sumber resepi adalah pelbagai jadi kena rajin cuba dan buat perbandingan.

Baiklah, resepi kali ini amat mudah dan keknya memang lembut dan moist pula. Jika kita perhatikan setiap penghasilan kek pasti rasanya amat manis, jadi kita perlu bijak mengurangkan kadar gula tersebut agar tidak memudaratkan kesihatan, tetapi jika kurang manis kadar ketahanan kek adalah berkurangan. Bagi hal tersebut, jika tidak habis makan simpanlah di dalam peti sejuk.

Ramai yang mahukan resepi ini  jadi apa lagi ,Jom kita kongsi resepi kek ini.

Bahan-bahannya:

360gm tepung naik sendiri
360gm gula kastor( ustazah guna 340gm sahaja)
250 mentega 
250ml susu segar & tambahkan 2 sudu makan cuka masakan( biarkan selama 10 minit)
4 biji telur
4 sudu makan serbuk koko
2 sudu makan pewarna merah 
1 sudu teh garam 
1 sudu teh cuka makan

Caranya 
1. Pukul mentega dengan gula hingga lembut dan putih.
2. Masukkan telur sebiji demi sebiji sambil di pukul hingga lembut dan gebu.
3. Tepung hendaklah diayak dengan serbuk koko dan masukkan ke dalam adunan.
4. Sambil pukul secara perlahan masukkan susu segar, perwarn merah, garam dan  cuka makan. Pukul hingga sebati.
5. Oleskan loyang dengan planta dan tepung serta dilapik dengan kertas kek supaya mudah untuk mengeluarkan daripada loyang.
6. Suhu kepanasan ketuhar adalah 180 darjah.
7. Bakar sehingga masak dan boleh dihias mengikut citarasa.

Sebenarnya, bahan susu segar adalah menggantikan buttermilk yang sukar didapati di tempat Ustazah. Kek yang dihasilkan kali ini cukup cantik hasil bakarannya di mana tidaklah membonjol di tengah dengan tingginya. Maklumlah jika membonjol kita perlu potong dan buang, amat membazir. So ini adalah resepi terbaik untuk menghasilkan kek ini.

Sekian untuk perkongsian resepi kali ini.. Barakallahu lana wa lakum..












Jumaat, 16 Mei 2014

Bismillah dan Assalamualaikum

Alhamdulillah pada hari ini seluruh guru meyambut sambutan Hari Guru peringkat sekolah masing-masing. Begitu juga Ustazah di sekolah. Malam tadi kepenatan jugalah menyiapkan tempahan kek daripada rakan-rakan untuk dijadikan hadiah bagi guru-guru anak mereka. 

Sambutan bermula dengan bacaan Yaasin di dataran sekolah, ucapan wakil pelajar dan pengetua SAMTAJ. Setelah itu, kami berkumpul di surau untuk solat hajat secara berjemaah. Acara yang dinanti iaitu sukaneka berbentuk explorace pula dijalankan. Acaranya ringkas sahaja dan boleh lihat melalui foto di bawah nanti.

Pergi jenguk kelas dahulu.
Setelah selesai sukaneka, kami jamuan ringkas dan bersiap pula untuk diarak dengan pelajar diiringi palua kompang. Persembahan daripada murid dan guru juga diadakan. Akhir sekali ialah pemberian hadiah kepada guru-guru SAMTAJ.

Kumpulan PINK
Amat teruja sebenarnya apabila banyak menerima ucapan hari guru terutama yang mengucapkan lebih awal lagi sebelum 16 Mei apatah alagi ucapan tersebut adalah daripada seorang bekas guru kita. Sepatutnya Ustazahlah yang patut telefon beliau. Satu lagi ibu Ustazah sendiri yang sanggup menelefon berkali-kali dek kerana Ustazah tidak mendengar deringan telefon ( sibuk di dapur kononnya ) semata-mata nak ucapkan selamat Hari Guru, walhal ibulah guru terbaik bagi kita. Mahu cerita pengorbanan pasti berlinangan air mata. Terima kasih juga buat sahabat dan anak murid yang menghantar kad ucapan malah memberi hadiah pula.

Hu hu .. tahun ini tiada anugerah guru mengikut kategori pula memandangkan waktu amat singkat pada Jumaat. Apapun amat terhibur dengan video pendek rakaman pelajar ting 5.

Terima kasih pada semua pelajar dan guru yang bertungkus lumus menjayakan sambutan Hari Guru 2014.


Hanya 5 minit sahaja


Tunjuk bakat ye


Meneka rempah ratus

Nampak je sebenarnya..hati terang


Ada gimik gini pula tak boleh nak buka kunci naik ke dewan


Terhibur


Tak sabar nak makan kek ni


Antara hadiah tahun ini


Terima kasih bagi yang sudi memberi                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                               








Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Hadith Pilihan

Blog Archive

Sahabat Blog

Jom Kita Bersilaturrahim