Khamis, 6 November 2014

Bismillah dan Assalamualaikum

Alhamdullillah dan doa dipanjatkan La Ba'sa Tohurun ( tidak mengapa semoga sebagai pencuci atau penghapus dosa ). Itulah satu doa yang diajar oleh Nabi jika ditimpa kesakitan.

Sudah hampir seminggu Ustazah batuk.Agak kuat juga disebabkan tidak memakan sebarang ubat. Jadi hari ini semakin parah hingga apabila batuk terasa sakit hingga ke tengkuk dan kepala. Hebat juga penangan batuk kali ini.

Acapkali ketika anak dan diri Ustazah batuk maka penawar disediakan daripada :

1. 2 biji Limau Kasturi
2. Satu sudu makan kicap
3. Satu sudu Madu

Perah limau dan asingkan bijinya kemudian sebatikan dengan kicap dan madu. Bolehlah diminum diiringi dengan selawat dan doa semoga sembuh batuk kita itu.

Semoga cepat sembuh bagi sesiapa yang kurang sihat..

Isnin, 27 Oktober 2014

Bismillah dan Assalamualaikum 

Alhamdulillah Allahu Akbar..

Teringat pula pada keletah anak ketika mengawasi peperiksaan akhir tahun di sekolah. Maklum semalam bercuti 2 hari. Riangnya hati ketika melihat mereka bermain basikal, sekejap nanti bergaduh-gaduh manja, berjemaah solat, mengaji Al-Quran, esok nak sekolah baru teringat ada home work dan pelbagai ragam lagi.


Harapan kita sebagai ibu dan ayah pasti ingin melihat anak kita berjaya dan cantik akhlaknya. Jika itu pilihan yang kita mahukan pasti ada sesuatu yang perlu kita beri didikan agar mereka berjaya dunia akhirat. Dalam hal ini kitalah role model mereka . 

Ya Allah sesungguhnya Kau telah cantikkan  kejadian kami, maka perindahkanlah akhlak kami. Begitu jua ya Allah Jadilkanlah kami orang yang tetap mendirikan solat dan seluruh zuriat kami.


Jumaat, 24 Oktober 2014

          بسم الله الرحمن الرحيم دان السلام عليكم 

Alhamdulillah bersyukur kita pada Allah SWT kerana dipertemukan dengan tahun baru dalam kalendar Islam iaitu bersamaan 1 Muharram 1436 Ini bermakna umur kita dan dunia semakin bertambah serta semakin hampir kita pada bila-bila masa akan bertemu dengan Allah SWT.

Allahu Akbar Allahu Akbar

Suka ustazah memperingatkan diri sendiri dan para pemabaca yang dirahmati Allah semoga tahun baru ini kita dapat memperbaiki amal dan ibadah kita pada Allah SWT. Banyak perkara yang perlu dilakukan untuk kebaikan diri, keluarga dan masyarakat. Maknanya perlu banyak bermuhasabah sepanjang tahun lepas ini bagaimana kualiti hidup kita dengan Allah swt, kekerapan membaca Al-quran, menghadirkan diri ke masjid dan majlis ilmu serta hubungan kita sesama manusia.

Niatkan segala apa yang kita lakukan semata-mata mengharap keredhaan Allah SWT. Daripada awal pagi kita berusaha dengan bekerja sehinggalah malam. Biarlah kepenatan kita hidup di dunia ini berbaloi dengan tidak mengabaikan perintah Allah dan sunnah Nabi Muhammad SAW.

                                      

                                                                               " كل عام وانتم بخير "

Berazam dengan istiqamah andai kita belum menutup aurat, tutuplah aurat dengan sempurna. Ingat ia adalah perintah Allah. Siapa kita untuk membuat pilihan atas perintah Allah.

Andai kita seorang yang kurang sempurna solatnya, cukupkanlah. Beringat bahawa solat adalah perkara pertama yang akan dihisab oleh Allah SWT.

Lihat pula keluarga kita, bagaimana? Sempurnakah kita dalam memberi nafkah dengan jalan yang halal, pendidikan agama anak-anak, tuntutan hormat pada ibu dan ayah...dan banyak lagi.

Andai rumah kita besar, pakaian kita indah-indah, makanan setiap hari amat melazatkan, istei atau suami yang baik ditambah kenderaaan yang selesa maka cukuplah keperluan fizikal kita.. Tetapi fikirkan keperluan rohani kita pula.. Semakan bacaan solat anak-anak, hidupkan bacaan Al-Quran dan hadith, solat berjemaah dan qiamualail serta ibadah-ibadah yang lain. Hasilnya pasti akan terjadi keluarga yang ada kasih sayang dengan kerahmatan Allah SWT.

Panjatkan doa setiap masa, bukanlah di awal dan di akhir tahun sahaja. Doa adalah salah satu cara interaksi kita dengan Allah SWT. Kita dapat merasakan dengan kemanisan doa apatah lagi jika doa terkabul. Jika belum terkabul pasti ada hikmahnya yang kita tidak tahu. Sesungguhnya Allah SWT tahu mana yang terbaik untuk hamba Nya.

Untuk akhirnya, Ustazah berdoa semoga semua mendapat kerahmatan, keampunan dan rezeki yang baik di dunia apatah lagi di akhirat kelak.

Salam sayang daripada Ustazah Ain.



Isnin, 20 Oktober 2014

بسم الله الرحمن الرحيم دان السلام عليكم  

Alhamdulillah kita masih diberi peluang untuk terus belajar dan beramal.Harapan kita semoga apa yang kita lakukan adalah dianggap satu ibadah oleh yang Maha Esa Allah SWT.

Baiklah hakikatnya dalam dunia ini apa yang baik pasti Allah suka. Sedaya upaya kita perlu lakukan apa yang diredhai malah disukai Allah dan menghindari apa yang dilarang atau dibenci oleh Nya.
 Ini tabiat orang bijak dan cakn dalam hubungan dengan Allah.Sudah tentu, strategi utamanya adalah dengan mengetahui apa-apa yang Allah suka.


Kredit Foto :Muzir


Antara perkara yang Allah suka:

1. Amalan berterusan biarpun kecil.
"Amalan yang paling Allah suka ialah yang paling konsisten biarpun sedikit".(Riwayat Muslim)

2. Ucapan سبحان الله وبحمده
" Sesungguhnya ucapan yang paling Allah suka ialah سبحان الله وبحمده ( Riwayat Muslim )

3. Abdullah dan Abdul Rahman
" Sesungguhnya nama yang paling Allah suka ialah Abdullah dan Abdul Rahman" ( Riwayat Muslim )

4. Masjid
" Tempat di muka bumi yang paling Allah suka ialah masjid-masjidnya". ( Riwayat Muslim )

5. Solat tepat waktu, berbakti kepada ibu bapa dan berjihad
seorang sahabat bertanya:" Amalan apa yang paling Allah suka?"
Jawab Nabi: " Solat pada waktunya".
"Lagi?"
"Berbakti kepada ibu bapa"
"Lagi?"
"Berjihad di jalan Allah."( Riwayat Muslim )

6.Menjadi Kuat
" Seorang Mukmin yang kuat lebih Allah suka berbanding Mukmin yang lemah."( Riwayat Ibn Hibban)

7. Solat berjemaah seramai mungkin.
" Solat berjemaah seorang dengan lebih seorang lebih baik daripada solat bersendirian. dan solat berjemaah seseorang dengan dua orang lain lebih baik daripada solat berjemaah sama seorang. Maka semakin ramai semakin Allah suka." ( Riwayat Al-Nasa'i )

8. Seorang yang pemurah
" Seorang yang pemurah itu dekat dengan Allah, dekat dengan syurga, dekat dengan manusia dan jauh daripada neraka."

" Seorang yang bakhil pula jauh daripada Allah, jauh dari daripada manusia dan dekat dengan neraka."

" Dan si jahil yang pemurah lebih Allah suka daripada si alim yang kedekut! " ( Riwayat Al-Tirmizi )

9. Pemimpin yang adil.
" Sesungguhnya  manusia yang paling Allah suka pada hari kiamat bahkan yang paling dekat dengan-Nya ialah pemimpin yang adil."( Riwayat Al-Tirmizi )

10. Titisan air mata dan darah demi Allah
" Tiada sesuatu pun yang paling Allah suka melebihi dua jenis titisan dan dua jenis kaki; titisan air mata kerana takutkan Allah, titisan darah yang mengalir dalam jihad di jalan Allah, jejak kaki untuk berjihad di jalan Allah dan jejak kaki dalam melaksanakan amalan fardu." ( Riwayat Al-Tirmizi )

Ilmu sudah ada, jadi pohonlah pada Allah SWT agar kita diberi kekuatan untuk melaksanakannya.

Salam penuh kasih sayang daripada Ustazahain.com💜💜

Sabtu, 11 Oktober 2014

Bismillah dan Assalamualaikum

Alhamdulillah semalam dapat menyiapkan 4 biji kek coklat moist dan 20 mini kek coklat moist dan cheese melelah. Ada sebiji lagi belum siap untuk didedoration kerana akan diambil pada sebelah petang.






Terima kasih pada yang sudi menempah, semoga Allah sentiasa murahkan rezeki kita semua.

Jumaat, 10 Oktober 2014

Bismillah dan Assalamualaikum 

Alhamdulillah semalam berkesempatan berjumpa dengan anak-anak Mentee Ustazah seramai 6 orang iaitu Rabiatul Adawiyah, Syahirah, Hidayah, Fatimah, Aishah dan Batrisyia untuk bertanyakan khabar dan memberikan kata- kata semangat untuk menghadapi PT3 pada 13 Oktober 2014 ini.



Antara intipati perjumpaan semalam Ustazah berpesan :

1. Usaha dan doa semaksima mungkin.
2. Jaga kesihatan diri dan jangan terlalu stres.
3. Lakukan solat hajat dan baca  Al-Quran setiap hari.
4. Berbuat baik pada ibu bapa, guru dan sahabat.
5. Ulangkaji mengikut teknik yang betul apatah lagi di saat- saat akhir.
6. Selepas peperiksaan jangan lupa diri, teruskan solat hajat dan doa agar guru yang menanda kertas kita sentiasa tenang dan menerima jawapan kita.
7. Silakan berjumpa ustazah pada bila- bila masa jika ada sebarang masalah atau pun sekadar bertanya khabar.

Semoga perjumpaan ini akan mengeratkan ukhwah antara kami mentor mentee. Sambil kami bersembang dan bertazkirah ustazah belanja anak- anak Mentee dengan sebiji kek cheese meleleh.




                                        



Apapun Ustazah doakan semoga semua calon PT3 yang sulong ini dapat menjawab soalan dengan baik dan memperolehi keputusan yang cemerlang.

Bittaufiq wannajah in sha Allah ...ameen









Rabu, 8 Oktober 2014

Bismillah dan Assalamualaikum 

Alhamdulillah hari ini sekolah Ustazah berjaya mengadakan program korban untuk tahun ini. Bermula daripada jam 7.30 diadakan taklimat ringkas berkaitan ibadah korban kepada murid tingkatan 4 dan 5 seterusnya proses sembihan pun dilaksanakan.


Ustazah doakan semoga guru-guru yang berkorban ibadahnya diterima oleh Allah SWT, dimurahkan rezekinya dan sentiasa mendapat keampunan dan kerahmatan hingga ke syurga.









Selepas proses penyembelihan, guru- guru lelaki dan pekerja upahan mengambil tugas melapah dan memotong daging untuk di masak oleh pihak dewan makan. Semua murid dikehendaki masuk ke kelas masing-masing untuk belajar seperti biasa.

In sha Allah pada jam 11.00 pagi ada satu ceramah berkaitan korban akan diadakan dan selepas itu sekitar jam 1.00 petang semua warga sekolah akan menikmati jamuan korban tersebut. Sebahagian daging ini juga telah diagihkan kepada murid yang kurang berkemampuan.

Semoga program ini dapat diteruskan setiap tahun bagi menyahut seruan Allah SWT dalam meninggikan syiar Islam.

Ahad, 5 Oktober 2014

Bismillah dan Assalamualaikum

Allahu Akbar .. Allahu Akbar ... Allahu Akbar..

Alhamdulillah Allah swt beri kita kesempatan untuk menyambut Aidil Adha seperti tahun-tahun lepas.

Tentu ramai yang menjalankan ibadah korban selepas solat sunat hari raya aidil adha. Selain itu, kemeriahan bersama keluarga juga adalah satu kenikmatan yang tidak terhingga.


Pada kesempatan ini, ustazah ucapkan selamat hari raya aidil adha pada semua dan maaf zahir batin. Semoga Allah swt menerima ibadah kita yang tidak seberapa ini. Gunakanlah kesempatan yang ada untuk terus memuji Allah swt siang dan malam..

Semoga ikhtibar sentiasa kita ambil dalam peristiwa korban ini.


Jumaat, 3 Oktober 2014

Bismillah dan Assalamualaikum 

Alhamdulillah kali ini sekolah memberanikan diri untuk bertanding dalam kategori 3K. Antara yang akan dinilai ialah Bilik Kesihatan sekolah kami. Bertungkus lumus Setiausaha merapikan bilik berkenaan dan Ustazah Naib setiausaha membantu sekadarnya. Apakah spesifikasi yang mahu dinilai agaknya ye?

Jom layan gambar bilik kesihatan di sekolah Ustazah.






                                       



                                       

                                        

                                        

Kalah menang belakang kira la..yang penting kita berani mencuba.

Selasa, 30 September 2014

Bismillah dan Assalamualaikum

Alhamdulillah pihak Kementerian Pelajaran Malaysia aka membuka tawaran Permohonan Secara Online ke Tingkatan Satu (1) di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) KPM 2015. Ustazah amat berharap kepada guru dan ibu bapa agar mengambil perhatian jika ingin anak bersekolah di SPB agar segera bertindak untuk memohon.

Permohonan akan dibuka mulai 1-30 Oktober 2014.

Direct link ke http://apps5.moe.gov.my/permohonansst1/spat1_2015/ untuk mula isi permohonan anda.
 
Atau Sila layari laman web KPM di www.kpm.gov.my  

.Semoga permohonan anak-anak kita dipermudahkan dan lulus dalam temuduga yang akan dihadapi/

Isnin, 29 September 2014

Bismillah dan Assalamualaikum

Alhamdulillah hari ini berkesempatan memerhati dan menyemak praktikal solat maghrib anak Ustazah yang berusia 6 tahun Ahmad Hamka Hakeem.

Subhanallah Allahu akhbar menitis air mata apabila dia boleh membaca doa iftitah dan semua bacaan dalam solat dengan baik..


Betapa Ustazah amat berterima kasih pada guru yang mengajarnya di Tadika Pasti Luqmanul Hakim iaitu Cikgu Masroha Binti Siam. Besar jasa beliau dan betapa beruntungnya menjadi orang yang berjaya mendidik anak murid bersolat, dapat membayangkan pahalanya sentiasa mengalir pada guru tersebut selagi mana ia diamalkan. 4 anak Ustazah semuanya memulakan pendidikan formal di situ.

Begitu juga Ustazah ucapkan ribuan malah jutaan Jazakallahu khairan kathira pada semua guru kepada anak-anak di SK Tebok Jawa dan SRA Kampung Banting. Jasa kalian tidak akan pernah terbalas dan hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalasnya.

Tugas kami sebagai ibu dan ayah banyak dilangsaikan oleh insan yang bergelar guru. Oleh itu wajiblah kita mengajar dan mendidik anak supaya taat akan perintah guru, bersabar ketika dididik dan jangan lupa doakan guru-guru bahagia hingga ke syurga selepas menunaikan solat atau pada bila-bila masa sahaja.


 Selesai sahaja anak solat, terus Ustazah peluk anak dengan penuh kesyukuran dengan linangan air mata sambil mendoakan agar Allah SWT sentiasa mengurniakan sifat ketakwaan kepada seluruh anak muslimin muslimat mukminin dan mukminat..

Bertambah sayu lagi apabila anak pula mengungkapkan doa juga dengan menyatakan bahawa mereka menyanyangi dan mendoakan kita juga bahagia hingga ke syurga.

Ameen ya Rabbal A'lamin memberikan kami anugerah yang menyebabkan kami merasai kebahagiaan dan ketenangan.




Bismillah dan Assalamualaikum 

Alhamdulillah Allah SWT sentiasa memberikan kita panduan dalam menangani segala permasalahan. Cuma kita sebagai hamba perlu mencari ilmu dan amalkan segala ilmu yang diperolehi, semoga cara penyelesaian kita mendapat keredhaan Allah SWT.

Pada hari ini, tekanan dan stres dalam kehidupan banyak berlaku. Tekanan terhadap keluarga,kerjaya, masyarakat atau pun sahabat. Tekanan dalam kerjaya berkemungkinan kita adalah seorang yang berjawatan lebih daripada orang lain serta majikan begitu percaya akan kualiti hasil kerja yang kita lakukan. Tup2 tahun depan anda mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, berbaloi stres yang begini.

Selain itu, seeloknya kita fikirkan tekanan itu kadangkala berpunca daripada sikap kita sendiri yang mungkin suka bertangguh dalam melakukan apa yang dikehendaki oleh majikan, sikap garang atau tidak bertolak ansur juga mempengaruhi perhubungan sesama keluarga dan sahabat.

Baiklah Ustazah bagi satu petua daripada Al-quran tentang menghadapi tekanan atau stres yang dilakukan oleh Nabi Allah Ibrahim ketika beliau ingin dicampakkan ke dalam api dan kesannya alhamdulillah beliau tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun telah dibakar oleh kaumnya. Amalkanlah setiap  hari supaya tenang dan sentiasa bergantung harap dengan Allah semata-mata serta boleh terlepas daripada kesan stres yang boleh memudaratkan diri dan orang lain.

Ayat tersebut ialah :


Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)". ( A-li'Imraan 3:173 )

Semoga kita semua terhindar daripada tekanan dan stres yang melampau. Biarlah tekanan atau stres itu menjadikan kita seorang yang proaktif dengan cuba mencari jalan penyelesaian yang akan memberi keuntungan kepada semua pihak.

Salam sayang daripada Ustazah..

Khamis, 25 September 2014

Bismillah dan Assalamualaikum

Alhamdulillah bulan Zulhijjah akan bermula esok dan  ada ibadah yang dijanjikan pahala besar dan hikmahnya jika kita tunaikan dengan niat semata-mata kerana Allah swt. Antara ibadah tersebut adalah berkorban . Allah SWT berfirman

  وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوب                                                                    

Ertinya : "Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) maka ia adalah dari tanda ketaqwaan hati" (Al-Hajj : 32)
 
Sebuah hadis juga  ada menyebut 

ما عمل آدمي من عمل يوم النحر أحب إلى الله من إهراق الدم                                                      

Ertinya : "Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh Allah SWT pada hari kurban kecuali berkorban (dengan menyembelih binatang)" (Riwayat At-Tirmidzi, Abu Daud ; Gharib, namun terdapat rawi yang dipertikaikan

Pada masa kini, peluang berkorban amat mudah untuk dilakukan sama ada di dalam atau luar negara. Ustazah ingin mencadangkan jika kewangan kita terhad tetapi masih berkeinginan untuk berkorban bolehlah kita laksanakan niat tersebut di kemboja dengan nilai serendah RM280 untuk satu bahagian. 

Bagaimana caranya?

Pihak equrban adalah satu agen peneraju ibadah qurban dan aqiqah yang akan dilaksanakan di Kemboja. Pihak equrban setiap tahun berjaya membantu masyarakat Malaysia dan luar negara untuk menunaikan niat berkorban dan aqiqah dengan kadar yang amat berpatutan. Jika ingin tahu mengapa Kemboja adalah salah sebuah negara yang dipilih sila klik http://denaihati.com.my/kenapa-qurban-di-kemboja. Saksikan juga video ini untuk penjelasan lanjut untuk memberikan kita keyakinan dan keperluan berkorban di sana.

Sebahagian situasi masyarakat  Kemboja
 Harga untuk satu bahagian lembu adalah RM 280, anda boleh memilih untuk menempah 1 bahagian atau beberapa bahagian lembu mengikut keperluan anda.Setiap bahagian boleh dinamakan dengan nama yang lain walaupun melalui satu tempahan sahaja.

Harga untuk satu ekor lembu pula adalah RM 1960. Seekor lembu mempunyai tujuh bahagian, anda boleh menamakan setiap bahagian untuk individu yang berbeza jika perlu.Sijil akan diberikan selepas semua pembeli selepas segalanya selesai.

Harga untuk satu ekor kambing pula adalah RM 550. Seekor kambing adalah untuk satu nama sahaja. Sijil akan diberikan selepas semua pembeli selepas segalanya selesai.

http://www.equrban.com/hop.php?ref=Ainsamadi
Sila klik banner di atas.
                                                                   
Pendaftaran hendaklah dilakukan selewatnya pada 30 SEPTEMBER 2014 ini bagi memudahkan pihak pengurusan equrban membuat persiapan

Pelaksanaan Sepanjang Program Korban di Kemboja pada tahun 2013 / 1434

 Hari ini adalah tarikh gaji  bagi setiap kakitangan awam, apa kata kita infaqkan sedikit gaji bulan ini untuk memberikan kebahagiaan pada insan yang kurang berkemampuan. Berkat keyakinan itu pasti Allah swt akan memberikan kemurahan rezeki pada kita tanpa disangka-sangka.Apatah lagi di akhirat kelak pasti dapat  membantu kita. Jom sahabat-sahabat apa lagi yang mahu di tunggu ?  Semoga Allah swt menerima ibadah korban kita yang sedikit ini.  In sha Allah dan niatkan semata-mata kerana Allah swt. Ayuh! semua

kredit foto : denaihati.com

Ahad, 21 September 2014

Bismillah dan Assalamualaikum

Alhamdulillah hari ini dapat menyiapkan tempahan anak murid yang inginkan kek cheese meleleh perisa strawberry. Saja buat dua biji kek mana tahu ada yang mahu membeli yang mini dalam tupperware dan alhamdulillah sangkaan menjadi kenyataan. Dua sahabat Ustazah ,teringin untuk menikmati kek cheese meleleh ini sebanyak 6 tupperware dan bakinya anak-anak yang makan kerana daripada awal sudah siap mahu juga kek ini.

Jom! Siapa yang mahu  menikmati kek ini atau berniaga boleh cuba dengan resepi ini.

Kek Cheese Meleleh Strawberry

Bahan-bahannya:

4 biji telur
2 biji telur kuning sahaja
100 gm gula castor
1 sudu makan ovellet
- pukul bahan di atas dengan kelajuan yang tinggi hingga kembang dan gebu.

100gm tepung gandum
60gm tepung jagung
1sudu kecil baking powder
1 sudu kecil perisa strawberry
Sedikit pewarna pink

- ayak bahan di atas dan campurkan dengan adunan bahan di atas yang telah dipukul gebu.

50gm air sejuk daripada peti sejuk
75gm planta yang dicairkan

- masukkan bahan di atas dengan adunan tepung tadi.

- letakkan adunan di loyang yang telah digris planta dan tepung.

- Panaskan oven pada 160c dan biarkan panas barulah masukkan adunan kek, Bakar selama 40 minit.

Bahan Cheese meleleh

250gm cream cheese
120gm susu pekat manis
100gm susu segar/ susu cair

* sedikit parutan keju Cheddar

- Pukul dan sebatikan bahan di atas.
- Setelah kek sejuk, belah 2 kek tersebut dan lepakan bahagian atas dengan Cheese, kemudian lapiskan dengan satu lagi lapisan kek dan siramkan sekali lagi dengan cheese.
- Parutkan Cheese Cheddar di atas kek.
- Bolehlah hias kek ikut kreativiti anda.








SIAP !

Selamat Mencuba

Jumaat, 19 September 2014

Bismillah dan Assalamualaikum

Alhamdulillah bila pulang ke kampung pasti emak ustazah suka buatkan cekodok nasi yang lembut hingga ke petang walau sudah sejuk.

Kali ini, nekad mahu belajar dengan emak dengan menyukat air dan tepung serta nasi yang digunakan. Maklumlah emak kita ini stile orang dulu just pakai agak-agak tapi menjadi, tapi kalau ustazah buat begitu alamatlah jadi cekodok batu pula. He he 😃.


Ok kita cuba ye in sha Allah jadi.

Bahan A

1 1/2 cawan nasi
3 cawan air
Blenderkan hingga halus

Bahan B

3 cawan tepung gandum
6 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
Sedikit bilis
Tumbuk bahan tersebut hingga separuh halus

Cili besar dan daun sup dipotong halus
Garam secukup rasa.

 

Kemudian campurkan kesemua bahan A dan B hingga sebati dan mesra. Panaskan minyak dan jemputlah kecil-kecil. Goreng hingga kekuningan..

Angkat dan nikmatilah sambil ucap alhamdulillah jadi cekodok nasi ini.

Agak banyak juga cekodok yang akan dihasilkan daripada 3 cawan tepung gandum ini lebih kurang 2 pinggan. Jadi bolehlah adun setengah adunan jika rasa terlalu banyak.

Selamat mencuba





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Hadith Pilihan

Sahabat Blog

Jom Kita Bersilaturrahim