Jumaat, 11 Oktober 2013

 8:33 PG         6 comments
Bismillah dan Assalamualaikum

Alhamdulillah hari untuk umat Islam berkorban akan tiba beberapa hari lagi. Ustazah pada tahun ini diberi rezeki oleh Allah SWT yang mana ibu mertua yang tinggal serumah dengan ustazah begitu berbesar hati membelikan seekor lembu berharga RM 3300 dan menamakan untuk korban bagi dirinya, arwah suami, ustazah dan 4 orang anak ustazah yang kini bergelar anak yatim.

Ibu mertua adalah ibu tunggal juga yang telah kematian suami semasa anaknya ramai yang masih kecil. Hajah Hasaton binti Haji Syukor adalah namanya. Kini berusia 75 tahun.Ibu menabur bakti kepada anak dan masyarakat hingga kini dengan menjadi bidan kampung, mengurut untuk orang yang bersalin atau mereka yang sakit badan atau terseliuh. Tidak punya pendapatan pencen, tetapi rezekinya murah dengan mengurut dan sedikit hasil kebun dan sawah.

Subhanallah Allahamdulillah Allahu Akbar...sujud syukur ustazah atas segala nikmat yang Allah kurniakan. Ibu mertua memang seorang yang sangat baik. Pengorbanannya pada Ustazah sekeluarga tidak pernah putus daripada awal perkahwinan hinggalah kini.Apa tidaknya, ketika ustazah berpantang beliaulah yang sibuk menjaga diri dan keperluan Ustazah. Hari ini, setiap hari selepas arwah suami tiada perbelanjaan anak sekolah ditanggung sepenuhnya oleh ibu mertua. Memang ibu tidak pernah berkira hinggakan beras pun ustazah tidak pernah beli.

Alhamdulillah .. Tanggungjawab ustazah perlu menghargai jasa dan pengorbanannya dengan taat dan patuh selagi tidak bercanggah dengan syariat. Ustazah ajar anak- anak supaya kasih dan sayang , doakan kesihatannya dan dipanjangkan umur embahnya( nenek ). Apabila anak- anak demam, ibu mertua sanggup bercekang mata menjaga malah kos perubatan pun ditanggung olehnya walau ustazah menolak.

Bagi Ustazah, nikmat tinggal serumah dengannya adalah satu rahmat yang besar. Apa tidaknya setiap pagi sebelum pergi sekolah dapat bersalam, berpeluk malah menciumnya dengan memohon kemaafan dan meminta iringan doa darinya. Ramai yang bertanya apakah petua ustazah boleh duduk serumah dengan ibu mertua walhal suami sudah tiada. Itulah rahmat Allah SWT. Nasihat Ustazah berilah:

1. Kasih sayang pada ibu mertua seperti mana kasihnya kita pada ibu kandung kita sendiri.

2. Berkorbanlah memahami dan mendahului perasaan ibu mertua.

3. Sentiasa meminta pendapat dan restu setiap perancangan kita. Hargai pendapatnya walau kadangkala tidak munasabah.

4. Sentiasa memberi hadiah mudah dengan membaca Al- Fathehah untuknya setiap hari.

5. Menyedari bahawa ibu mertua adalah ibu kepada suami dan suami wajib berbakti selagi hayatnya masih ada mendahului diri kita sebagai isteri.

6. Ceritalah yang baik kepada orang lain seperti mana kita menyanjung ibu kandung sendiri.

7. Usah berat mulut ucapkan yang kita menyanyanginya walau tidak setiap hari.

8. Seringkali menelefon bertanyakan khabar apabila berjauhan.

9. Sesekali urutlah badan atau kakinya dan berpegangan tangan dengannya.

10. Doakan kesejahteraan, keampunan dan dikurniakan rezeki yang baik kepadanya setiap hari.

Sepanjang tempoh perkahwinan hingga kini ( 13 tahun ) Ustazah tidak pernah bergilir untuk berhari raya. Pasti Ustazah beraya dahulu dengan ibu mertua. Pernah pada tahun kedua setelah pemergian suami meminta izin dari ibu mertua untuk pulang beraya di rumah ibubapa ustazah tetapi setelah melihat ibu mertua menangis dan merayu kesedihan, ustazah batalkan hasrat tersebut. Selepas hari raya pertama barulah ustazah pulang ke kampung halaman di Kg Bukit Kuching Jeram.

Sebenarnya banyak lagi jika ingin dicoretkan tentang pengorbanan dan sumbangan malah hadiah ibu mertua hulurkan pada ustazah sekeluarga. Sayangilah ibu mertua, doakanlah ia dan kasihilah sepenuhnya ibu kerana di situlah terkumpulnya rahmat Allah SWT yang tidak ternilai.

Semoga Allah SWT sentiasa merahmati, mengampuni dan mengurniakan rezeki yang baik untuk ibu ayah mertua apatah lagi ibu ayah kandung yang kita amat kasihi. Semoga kita akan berkumpul di jannah nanti hasil setiap pengorbanan yang kita lakukan.









6 ulasan:

  1. salam pagi jumaat kak, terima kasih kak ya untuk entry terbaik ni,insaf saya membacanya, bagi saya motivasi utk menyayangi ibu mertua sama macam sayangkan mak sendiri, saya dah kahwin hampir 5tahun,tapi kadang2 masih membandingkan2 antara mak dan ibu mertua, YaAllah baru tersedar rasanya.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Jumaat kembali imie fatiemah , mulakan didik diri menyanyangi org lain pasti org akan syg kita kembali.Banyakkan memberi pasti Allah adakan hadiah istimewa utk kita nanti

      Padam
  2. Assalamualaikum akak..semoga terus berbahagia tentu pengorbanan akak selama inilah yang membuatkan ibu mertua turut berkorban untuk akak sekeluarga

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih..semoga kebahagiaan jua milik mu

      Padam
  3. alhamdulillah syukur dengan rezeki Allah

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya kak sama2 kita bersyukur..bisnes akak pun makin bagus

      Padam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Hadith Pilihan

Blog Archive

Sahabat Blog

Jom Kita Bersilaturrahim