Jumaat, 30 Ogos 2013

Bismillah dan Assalamualaikum

Alhamdulillah kali ini mendapat tempahan kuih talam berlauk udang daripada Puan Saniah untuk jamuan raya di sekolahnya. Sudah lama ustazah tidak buat kuih ini mungkin di tempat ini orang kurang mengetahui kesedapan kuih ini. Ada rasa lemak, masin, agak pedas dek kerana sedikit lada sulah dan cili merah. Boleh juga gantikan udang dengan daging atau ayam cincang

Cukup bersyukur dimaklumkan bila jamuan kuih ini yang habis dahulu dan tak cukup..maklum jarang nampak kuih ini..semoga mereka yang menikmati kuih ini gembira dan mendapat kerahmatan Allah SWT atas segala nikmatnya.

Jom kita lihat bahan-bahannya.

Talam Berlauk Udang

Bahan A
3 cawan tepung gandum
1 cawan santan pekat
4 cawan santan cair
1 sudu makan gula
1 sudu makan lada sulah
1 biji telur
1 sudu kecil garam

Adun semua bahan di atas dengan menuangkan santan berperingkat-peringkat untuk mengelakkan berbintil atau mahu mudah blenderkan lagi cepat dan gebu. Setelah siap letak pada loyang 10.5 inci . Jangan lupa oleskan loyang dengan sedikit minyak kemudian letak plastik baru dituangkan adunan..opps! Jangan lupa tinggalkan adunan anggaran secawan untuk disiramkan ke atas lauk udang yang sudah ditumis.

Bahan C

250 gm udang basah dibuang kulit dan potong kecil-kecil.
10 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
2 tangkai cili merah
1 sudu makan rempah kurma
1 sudu makan cili boh
2 sudu makan udang kering
Sedikit daun sup dan daun bawang

Gorengkan bawang merah dan bawang putih hingga keemasan. Angkat dan ketepikan.
Minyak lebihan bawang goreng digunakan untuk mengecutkan udang basah yang dipotong halus.Jangan terlalu lama agak-agak kecut angkat. Kemudian gunakan sedikit minyak untuk menumis rempah kurma, cili boh dan udang kering hingga naik minyak. Kemudian masukkan udang dan bawang goreng hingga naik bau. Sebelum matikan api masukkan lah cili merah yang potong dan daun sup serta daun bawang. Angkat dan biarkan.

Kukus adunan selama 15 minit kemudian taburkan tumisan udang dan ratakan. Kemudian tuangkan dengan adunan secawan yang kita tinggalkan tadi. Kukus selama 30 minit.Potong setelah sejuk. Boleh juga sebelum dihidang taburkan daun sup dan cili merah yang dipotong halus.

Selamat mencuba dan semoga sedap serta gembira mereka yang menikmatinya.





Khamis, 29 Ogos 2013

Bismillah dan Assalamualaikum

Syukur pada Allah atas segala nikmat dan selawat dan salam buat Nabi Muhammad SAW. Seperti biasa hari ini menjalankan tugas sebagai seorang guru di sekolah. Nikmat di sekolah dapat jumpa ramai anak murid yang mana apabila bertemu dan saling berselisih merebut-rebut untuk memberi ucapan salam.Sedaya upaya Ustazah cuba mendahului mereka..jika terlambat mereka berkata kali ini Ustazah kalah kami menang untuk beri salam...Subhanallah Allahu Akbar.

Sesi pengajaran hari ini untuk mencapai B4D7E1 iaitu murid dikehendaki membaca bacaan di dalam solat. Ustazah pun semak bacaan secara individu dengan menggunakan teknik hafazan. Apa yang Ustazah dapati ialah :

1. Murid perempuan mendahului murid lelaki.

2. Alhamdulillah mejoriti dapat membaca dengan baik dan lancar membuktikan mereka mengamalkan solat 5 waktu.

2. Bacaan yang perlu perhatian kepada guru dan ibu bapa ialah tahiyyat akhir dan doa qunut.

3. Ada murid yang tidak mahu membaca, kurang yakin tetapi setelah diberi keyakinan dan bantuan sebenarnya mereka boleh membaca.

Rumusannya kita sebagai ibu bapa wajib peka dengan perkara yang melibatkan solat. Kami di sekolah mengajar, memberi ilmu manakala pemantauan berterusan adalah ibu dan ayah. Penilaian melalui B4D7E1 ini berjaya mengesan murid yang masih memerlukan bantuan dan sokongan untuk mereka memperbaiki bacaan dalam solat mereka.

Teringat akan anak-anak sendiri bagaimana bacaan mereka? Bukankah Ustazah juga seorang ibu yang punyai anak-anak.









Rabu, 28 Ogos 2013

Bismillah dan Assalamualikum

Alhamdulillah pada pagi ini kita masih diberi kesempatan untuk terus menghirup udara segar dan menjalani kehidupan seperti semalam. Semoga hari ini lebih baik dari semalam.

Terlalu banyak doa yang perlu dipanjatkan pada awal pagi. Jangan lepaskan peluang kerana berdoa adalah salah satu peluang untuk kita memperolehi hidayah Allah SWT.

Ustazah suka mengajak diri dan anak-anak berdoa dan menghadiahkan surah Al- Fathehah kepada Nabi, arwah suami, antara kami anak- beranak,orang yang banyak membantu, guru-guru dan semua muslimin muslimat ketika mula menaiki kenderaan menuju ke sekolah. Alhamdulillah banyak juga doa yang sudah dihafal oleh anak-anak.

Kali ini Ustazah mahu berkongsi doa seperti yang tertera pada gambar di bawah. Semoga bermanfaat untuk semua.

Bismillah dan Assalamualikum

Alhamdulillah ketika ini sekolah Ustazah sibuk membuat persiapan untuk menyambut hari kemerdekaan negara kita yang tercinta. Kemuncaknya ialah pada 30 Ogos 2013 ini.

Antara aktiviti yang kami jalankan ialah :

- Kibaran Jalur Gemilang dan negeri di tempat yang sesuai dengan pelbagai saiz.

- Persembahan patriotik mengikut kelab dan persatuan.

- Melukis poster.

- Pertandingan keceriaan kelas bertemakan kemerdekaan.

- Ceramah Sambutan Kemerdekaan dari perspektif Islam.

- Kuiz Sejarah.

- Jamuan Merdeka Raya.

Pada hari ini sempatlah Ustazah mengendalikan proses memasang Jakur Gemilang di sebabkan Ustazah mengajar subjek Sejarah di kelas tingkatan 2 Firdaus. Bukan main seronok anak murid mengikat bendera pada batang PVC untuk dipasang di tepi pagar sekolah. Selain itu mereka juga sibuk menggantung bendera di garaj basikal pelajar. In sha Allah kelas lain juga turut memasang bendera yang telah siap kami sediakan.

Ustazah amat berharap agar sambutan kemerdekaan ini disambut dengan penuh kesyukuran serta memuji-muji Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nyalah kita dapat menikmati keamanan, kesejahteraan dan semoga keharmonian akan sentiasa kita perolehi.















Selasa, 27 Ogos 2013

Bismillah dan Assalamualaikum.

Subhanallah begitu pantas masa berlalu anak kita akan menginjak 

ke Tingkatan 1 atau Tingkatan 4.

Maka rutinnya pihak KPM  akan membuka permohonan secara 

online Kemasukan Murid ke Tingkatan 

Satu (1) dan Tingkatan Empat (4) di Sekolah Berasrama Penuh 

(SBP), KPM bagi tahun 2014 

akan dibuka pada 

1 September 2013 hingga 15 Oktober 2013. 


Sila klik link di bawah untuk mendaftar

http://public.moe.gov.my/



Sila layari laman web KPM di http://www.moe.gov.my untuk sebarang keterangan lanjut.


Bismillah dan Assalamualaikum

Alhamdulillah setiap masa kita cuba gunakan untuk mengingati Allah SWT . Ustazah tahu ramai yang sudah mengetahui fadhilat surah-surah Al-Quran jika diamalkan. Apa pun niatkan lah segala-segalanya kerana mencari redha Allah SWT dan in sha Allah kelebihannya akan kita perolehi.

Mari bersama kita amalkan surah-surah tersebut untuk menghalang ujian besar Allah SWT. Jika terkena juga musibah atau ujian kita boleh hadapi dengan tenang dan sabar. Sila rujuk nama surah-surah pada gambar di bawah yang Ustazah perolehi dari FB Ustaz Don.

Isnin, 26 Ogos 2013

Bismillah dan Assalamulaikum.

Alhamdulillah pada Ahad semalam dapat menghantar anak bongsu ke Program Alam Ria PASTI kawasan Sabak Bernam. Hamka terpilih untuk mewakili acara nasyid. Banyak juga acara yang dipertandingkan antaranya hafazan Al-Quran, azan, bersajak, pidato, bercerita dan nasyid.

Seronok melihat gelagat anak-anak dan ragam ibubapa yang mahu melihat anak mereka melakukan persembahan. Kagum dengan semangat guru- guru melatih kanak- kanak mengikut acara yang dipertandingkan. Ibu bapa pula sibuk merakam aksi-aksi persembahan hingga penonton susah mahu menonton. Ada ibu bapa yang menitiskan air mata gembira malah tidak menyangka anaknya boleh menghafaz dengan baik dan melaungkan azan walau mereka baru berusia 5 - 6 tahun malah berpidato serta bercerita dengan fasih dan lancar.

Tahniah diucapkan kepada PASTI Luqmanul Hakim sekolah Hamka yang berjaya menguasai pertandingan di setiap acara yang dipertandingkan.

















Sabtu, 24 Ogos 2013

Bismillah dan Assalamualaikum

Alhamdulillah hari ini telah sampai 17 Syawal kita berhari raya, tentu ramai yang sudah melaksanakan puasa sunat 6 Syawal. Hari ini juga merupakan sekolah cuti berganti pada kebanyakan sekolah di Malaysia.

Ustazah ada masa pertama mengajar subjek Pendidikan Islam untuk tingkatan satu dan rancangan hari ini hanya latihan PBS Band3 yang melibatkan penilaian amalan dan penghayatan. Siapakah kita sebenarnya mahu menilai amalan seseorang tetapi laksanakan juga agar murid mencapai Band yang telah ditetapkan.

Soalan Ustazah ialah :

B3D8E1 ( usaha mempertingkatkan diri menjadi muslim yang Mukmin )

Apakah perubahan diri yang amat jelas terjadi pada anda selepas mempelajari Pendidikan Islam?

Ustazah mahu mereka menjawab secara jujur dan yakin pasti mereka melakukan apa yang mereka catatkan.

Syukur alhamdulillah menitis air mata Ustazah bila membaca jawapan mereka. Antaranya :

- Dulu saya sering meninggalkan solat, selepas saya mempelajari Pendidikan Islam hati saya terbuka untuk melakukan ibadat solat, puasa dan menutup aurat.

- Kini saya solat secara berjemaah di surau.

- Membaca Al-Quran setiap hari.

- Menutup aurat lebih sempurna berbanding sebelum ini.

- Sedar akan kekuasaan Allah.

- Berpuasa penuh pada Ramadhan kali ini.

Lantas Ustazah puji mereka dan mendoakan semoga kita bersama istiqamah dalam mentaati segala perintah Allah SWT.

Subhanallah .. semoga ilmu yang bermanfaat ini menjadi saham akhirat untuk kita semua .

Jumaat, 23 Ogos 2013

Bismillah dan Assalamualaikum

Alhamdulillah dikurniakan cahaya mata yang pertama iaitu pada 14 Januari 2003. Tempoh kontraksi amat panjang dan penuh ketabahan menghadapinya serta pergantungan pada Allah SWT Ustazah sandarkan.

Arwah suami pun setia menemani sehingga Ustazah selamat melahirkan Anak sulong dan kami sepakat untuk memberi nama Farah Fathehah mengambil sempena susunan surah Al-Quran yang pertama adalah surah Al-Fathehah.

Kini Farah sudah berusia10 tahun. Seorang anak yang tidak membantah setiap arahan ibunya. Semoga cita- cita Farah untuk menjadi seorang doktor gigi akan tercapai suatu hari nanti.

Apa yang menjadi harapan Ustazah pada anak Sulong ini, semoga sentiasa menjaga solat 5 waktu, prihatin serta menjadi contoh tauladan pada adik-adiknya.

Terima kasih kerana banyak tolong emak selalu dan murah hati pula tu..sayang Farah selalu.



Bismillah dan Assalamualaikum.

Petang yang santai menunggu masa mengambil anak daripada sekolah agama sempat menyemak Feedjit Live. Sengaja mahu tahu apa yang orang cari melalui key word dan tersinggah pula di blog Ustazah.

Semak punya semak terjumpa satu carian ' senarai nama ustazah di Kuala Lumpur yang murah '. Tersenyum sendiri apa maksud ' murah ' tu ye? Bersangka baik : mungkin mereka mencari penceramah bertitle Ustazah yang bayarannya agak murah.

Keesokannya pula semak lagi dan sekali lagi tersenyum kali ini mereka mencari  dengan key word 'Ustazah Sedap ' pula..apa pula la yang sedap?

Apa pun bersangka baik adalah perkara yang cuba ustazah praktikkan dalam hidup.




Khamis, 22 Ogos 2013

Bismillah dan Assalamualaikum

Alhamdulillah syukur semua tajuk untuk PBS Pendidikan Islam tingkatan Satu sudah selesai Ustazah laksanakan. Sekarang perlu menumpukan latihan Band 3,4,5 dan 6 yang berbentuk amali, pemerhatian, soal selidik dan kajian.

Pada hari ini mahu selesaikan : B4D4E1

Membuat kajian tentang;
 Hadis 1: Galakan Menuntut Ilmu

Langkah satu:

Murid dikehendaki menyalin hadis galakan menuntut ilmu berserta maknanya.

Langkah 2

Menyatakan 2 fakta apakah yang mereka faham daripada hadis tersebut.

Langkah 3

Melakarkan peta minda faedah orang berilmu.

Langkah 4

Menyatakan satu ilmu yang menjadi amalan mereka setiap hari .





Bismillah dan Assalamualaikum

Alhamdulillah sempat sebelum tidur membelek foto-foto di FB dan tertarik pada satu foto yang dihadiahkan oleh pelajar sempena sambutan Hari Guru pada 16 Mei 2013 yang lepas.

Syukur pada Allah SWT, pada sambutan kali ini pelajar ada membuat undian mengikut kategori seperti guru paling kemas, paling murah senyuman, paling prihatin dan lain- lain lagi. Apabila setiap kategori yang disebutkan, satu nama Ustazah langsung tidak tersenarai. Mula bermuhasabah diri banyak kekurangan.

Telefon asyik berbunyi nada sms mengucapkan selamat Hari Guru bertalu- talu. Tibalah saat anugerah terakhir iaitu anugerah guru paling popular diumumkan. Terkejut Ustazah tercalon hanya ada 2 nama sahaja. Syukur Ustazah yang mendapat anugerah itu.

Terima kasih untuk anak murid yang sudi memilih Ustazah.Kalian sentiasa ada dalam doa Ustazah agar menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Hati berbisik..bagaimana pula kedudukan diri di sisi Allah SWT ... popularkah?



Rabu, 21 Ogos 2013

Bismillah dan Assalamualaikum

Alhamdulillah dan syukur dapat kepercayaan menerima tempahan kek untuk majlis perkahwinan anak Puan Asiah setinggi 2 tingkat. Sedaya upaya Ustazah sudah menolak lantaran kek tidaklah secantik dan setanding di kedai, dek kerana dipaksa maka Ustazah terima jua tempahan dan siap berpesan terimalah apa jua wajah kek itu nanti.

Alhamdulillah kek ini sedap dan padat berbanding kek coklat yang lain kerana tidak menggunakan baking powder. Terima kasih atas sumbangan resepi daripada Cik Maria Halidi..ramai kawan di sekolah yang memuji kesedaran kek Cik Maria ini, itu yang menyebabkan Ustazah pun teringin untuk mencuba kek tersebut. Cuma Ustazah tambahkan dengan cream cheese sahaja untuk kelainan.

Baiklah, untuk perkongsian resepi sila rujuk resepi di bawah:

Kek Coklat Cheese Moist Padat

Bahan A
4 Biji telur
1 Cawan gula halus

Pukul bahan di atas hingga agak kembang sedikit.

Bahan B
1 cawan koko Powder
1 1/2 cawan tepung kek
3/4 cawan minyak jagung
1 cawan susu pekat manis

Ayak tepung dan koko powder dan campurkan dengan telur dan gula yang telah dipukul.Masukkan susu dan minyak serta gaul sebati.Bahagikan adunan kepada 2 bahagian.

Bahan C
250gm cream cheese
100gm gula halus
1 biji telur
1 sudu besar tepung gandum

Pukul cream cheese dengan gula, kemudian masukkan telur dan tepung gandum pukul hingga gebu.


Kukus adunan coklat pertama selama 20 minit. Kemudian lapiskan dengan bahan C selama 20 minit juga. Kemudian lapiskan adunan coklat yang kedua hingga masak selama 30 minit.Kek ini agak lama untuk masak berbanding kek coklat Moist yang menggunakan baking Powder so bersabar in sha Allah hasilnya memuaskan.

Krim kek

250gm krimwell
125gm gula castor

Pukul krimwell hingga gebu dan kembang menggunakan kelajuan yang tinggi,baru masukkan gula castor gaul sebati menggunakan spatula sahaja.




Selasa, 20 Ogos 2013

Bismillah dan Assalamualaikum

Bersyukur pada Allah SWT yang menganugerahkan kami sekeluarga dengan kucing yang manja, baik dan mudah diurus.

Hakikatnya anak bongsu Ustazah, Hamka terlalu inginkan seorang adik lelaki dan mustahil untuknya memiliki buat masa ini. Sering ustazah tegur bila dia bermain dengan kucing tak kira comot hingga apabila di kedai makan sanggup tidak makan leka bermain dengan kucing yang terdapat di warung tersebut.

Menyedari hakikat ini, ketika menghadiri satu program di sekolah, ustazah nampak Hamka mendukung seekor kucing yang cantik bulunya dan sederhana kecil..dia merayu agar ustazah bawa dia pulang ke rumah. Ustazah izinkan dan bukan kepalang gembiranya Hamka dan kakak- kakaknya .

Ustazah berikan namanya 'Si Baik' sebagai satu harapan dan doa agar ia mudah diutus terutama yang melibatkan najisnya.Alhamdulillah malam pertama tanpa di ajar ' Si Baik ' berjaya membuang najis di bilik air.

Ibu mertua yang selama ini kurang senang dengan kucing pun terpaksa akur dengan kemahuan Hamka. Ramai cucunya yang pelik kerana selama ini neneknya ( embah ) lansung tidak senang dengan kucing tetapi kini sanggup memandikan dan mencuci najis kucing tersebut.

Semoga kehadiran ' Si Baik ' dengan izin Allah akan membawa rahmat kepada keluarga kami.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Hadith Pilihan

Sahabat Blog

Jom Kita Bersilaturrahim