Jumaat, 31 Mei 2013

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum dan didoakan semoga para pembaca blog ini sentiasa tenang dan bahagia disamping keluarga tercinta.

Ketika ini ustazah sedang sibuk menyiapkan tempahan Talam Keladi Enak daripada Cikgu Hasna 3 loyang dan Ustazah Zurina seloyang..pukul berapa agaknya selesai. Sambil menunggu kuih dikukus menyempatkan juga buat entri ini.

Sekali lagi memenuhi permintaan teacher Salwa yang ingin resepi Talam Sri Muka Istimewa yang katanya ingin mencuba membuat sendiri untuk suaminya yang tercinta di musim cuti sekolah ini.

Baiklah bagi sesiapa yang berminat dengan kuih ini sila rujuk resepi di bawah :

Tempahan daripada sahabat Cikgu Hasna


Bahan lapisan bawah :
600 gm pulut 
300 gm santan pekat
300 gm air
secubit garam

Cara membuatnya:
-Rendam pulut selama 4 jam
-Sediakan loyang saiz 11 inci dan oleskan minyak kemudian letakkan plastik.
- Ratakan pulut , masukkan santan pekat dan air serta sebatikan garam.
- Kukus selama 30 minit.
- Setelah masak, tekan pulut menggunakan senduk atau alat penekan dengan kuat sehingga padat bagi  mengelakkan lapisan atas  menggelembung.

Bahan lapisan atas :
300gm gula pasir 
70 gm gandum 
90 gm kastad
6 biji telur
400 gm santan
400 ml air pandan (10 helai daun pandan diblender)
Sedikit pewarna hijau
1/2 sudu air kapur 

Cara membuatnya:
- Satukan semua bahan di atas kemudian tapis.
- Wapkan adunan atas api kecil sehingga agak pekat sedikit dan sentiasa dikacau.
- Tuangkan adunan ke lapisan bawah.
- Kukus selama 30 minit dengan dibuka tutup kukusan setiap 10 minit untuk mengelakkan air wap menitik ke atas lapisan atas.
- Setelah masak, biarkan seketika di dalam kukusan tanpa penutup yang belum dimatikan api untuk memastikan lapisan atas kering dan tidak berair.
- Potong kuih setelah sejuk.

Selamat mencuba in sha Allah menjadi..





بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum dan semoga kalian sihat serta penuh limpahan kerahmatan daripada Allah SWT .

Maaf pada Puan Siti Salwa yang minta resepi  ini daripada Ustazah. Agak lewat pula maklumlah agak sibuk memenuhi jemputan dan tempahan sahabat-sahabat. Petang ini pun ustazah kena selesaikan 4 loyang tempahan kuih ini.

Baiklah sesiapa yang teringin untuk merasa dan menikmati Talam Keladi Enak ini bolehlah ikuti resepi di bawah .

Em..Yummy sedapnya dengan izin Allah swt

Talam Keladi Enak.

Bahan lapisan bawah
300ml santan pekat
400ml air
1/2 cawan gula castor
1 sudu teh garam
250gm keladi dipotong dadu & dikukus
200gm tepung beras (cap bunga teratai)
25gm tepung ubi

Cara membuatnya
- Campurkan semua bahan kecuali keladi dan tapis.
- Kemudian kacau atas api yang kecil sehingga naik wap.
- Tuang ke dalam acuan yang disapu minyak dan dialaskan plastik atasnya.
- Taburkan keladi yang telah dikukus ke dalam loyang.
- Kukus selama 30 minit.
- Setelah masak carik-carikkan lapisan bawah dengan garpu agar lapisan atas melekat dengan lapisan bawah.


Bahan lapisan atas
250gm gula castor
300ml santan pekat
350ml air
150gm tepung gandum( mesti gunakan cap kunci atau sauh)
3 biji telur
1 sudu teh pewarna ungu
secubit garam

Cara membuatnya
- Campurkan semua bahan dan tapis.
- Kemudian kacau atas api yang kecil sehingga naik wap.
- Tuangkan ke atas lapisan bawahyang sudah masak.
- Lap tudung pengukus setiap 10 minit atau guna pengukus berbentuk kun supaya wap tidak terkena pada lapisan atas.
- Kukus selama 30 minit dan biarkan seketika kuih ini berada di dalam kukusan yang masih belum dimatikan api untuk proses mengeringkan lapisan atas.

Selamat mencuba


Ustazah gunakan loyang size 11 inci



Isnin, 27 Mei 2013

Bismillah

Assalamualaikum dan semoga Allah SWT mengurniakan nikmat keimanan yang berkekalan hingga ke hujung nyawa..

Lamanya tak update blog gara-gara kesibukan program sekolah dan menyiapkan tempahan kuih serta kek..apa-apa hal pun syukur atas segalanya.

Hari ini menyempatkan juga menziarahi kakak Pn Haimah sekeluarga yang akan berangkat ke Mekah untuk menunaikan umrah pada 28 Mei 2013 ini..semoga Allah SWT memudahkan segala urusan mereka di sana dan beroleh umrah yang mabrur..

Sempat juga ustazah buatkan mereka sebiji kek sifon Sunquick manakala ibu Ustazah pula masak ayam percik, kuah kacang dan nasi impit..

Semoga satu hari nanti kita juga akan mendapat jemputan untuk ke Baitullah..









Selasa, 14 Mei 2013

Bismillah

Assalamualiakum dan semoga kita sentiasa menjadi orang yang sabar dalam mentaati perintah Allah SWT.

Kali ini mendapat tempahan Kek Kelapa Seri Rampai daripada Ustazah Nor Asmawati..sebenarnya dia boleh membuat kek tapi sengaja minta Ustazah buatkan. Kek ini pun tiada siapa yang pernah tempah..untuk tidak mengecewakannnya Ustazah buatkan juga.

Kek ini ada rasa sedikit kelainan kerana ada kelapa kering dan alhamdulillah gebu serta manisnya pun tidak keterlaluan jadi bagi sesiapa yang berminat dengan kek ini bolehlah mencubanya. Ustazah Nor Asmawati ada menyatakan alhamdulillah kek ini sedap dan habis di makan dengan anak murid usrahnya.

Mari kita lihat resepi kek yang simple ini.

Kek Kelapa Seri Rampai

Bahan A

190g Gula halus
300gm majerin
4 biji telur gred B

Bahan B

230gm tepung gandum
11/2 sudu teh baking Powder
1/2 sudu teh soda bikarbinat

Bahan C

1 sudu teh esen vanilla
50g kelapa kering
3 sudu besar susu tepung
3 sudu besar susu pekat manis
sedikit pewarna hijau dan merah

Cara membuatnya :
1. Pukul bahan A hingga gebu. Ayak bahan b dan masukkan ke adunan A serta masukkan susu tepung, susu pekat manis dan esen vanilla. Adun sebati

2. Bahagikan 2 bahagian kelapa kering dan warnakan dengan warna merah dan hijau.

3. Campurkan dengan adunan yang telah siap dengan kelapa kering yang telah diwarnakan.

4. Griskan loyang dengan lapisan planta dan tepung..tuangkan adunan kek dan bakar pada suhu 180 darjah selama 30 minit..

Semoga dengan izin Allah SWT jadi  kek yang kita buat..





بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum dan didoakan semoga Allah SWT sentiasa memberikan kita kekuatan untuk menghadapi cabaran atau apa yang kita rasakan begitu sulit dan sukar untuk dihadapi.

Beruntung menjadi umat Islam..punyai Al-Quran dan Hadith sebagai panduan bagi mengurus hidup.

Baiklah satu tips mudah, jimat,berpahala malah ia adalah janji Rasulullah SAW yang wajib kita yakini berkaitan menghadapi kesusahan atau cabaran iaitu dengan melafazkan ISTIGHFAR..

 "اَسْتَغْفِرَ اللهَ الْعَظِيمِ "

Kesan Istighfar :

Hadis Riwayat Abu Daud Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

" Sesiapa yang sentiasa beristighfar maka Allah akan menjadikan baginya setiap kesusahan itu ada jalan keluar dan pada setiap kesempitan ada cara mengatasinya serta memberikan rezeki kepadanya daripada sumber yang tidak disangka-sangka " 

Bukankah mudah? Jom amalkan sebagai amalan harian sebanyak 70 kali atau 100 kali. Ia sekadar mengambil masa 2 minit sahaja ..

Jumaat, 10 Mei 2013


بسم الله الرحمن الرحيم


Assalamualaikum dan Segala puji bagi Allah SWT.

Bagi pelajar lepasan SPM masa kini perlu ambil perhatian tentang permohonan untuk melanjutkan pelajaran di laman-laman web yang berkaitan. Ini bagi mengelakkan daripada terlepas untuk memohon atau mengetahui perkembangan status   permohonan.


Terkini, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia memaklumkan bahawa aplikasi permohonan ke Program Diploma Vokasional Malaysia di Institut Latihan Perindustrian akan dibuka mulai :

 13 Mei 2013 (Isnin) 
sehingga 
29 Mei 2013 (Rabu)

sila layari web berikut :



Khamis, 9 Mei 2013

Bismillah 

Assalamualaikum dan semoga Allah sentiasa memberikan kita nikmat ketenangan dan kesabaran serta sentiasa mensyukuri kurniaan Nya.

Tahniah kepada pelajar yang berjaya ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke Kolej Matrikulasi Aliran Teknikal. Anda dikehendaki mendaftar secara atas talian sebelum 25 Mei 2013 ini.

Sila klik pautan di bawah mengikut kolej masing-masing untuk mendaftar :





Rabu, 8 Mei 2013

بسم الله الرحمن الرحيم 

Assalamualaikum dan didoakan semua dalam kerahmatan Allah SWT dan sihat sejahtera.

Tahniah diucapkan dan Alhamdulillah keputusan temu duga jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 bagi calon IPGM dan IPTA yang ditemuduga mulai 19 Februari 2013 sudah boleh diketahui.

Keputusan ini akan dimuat naik secara berperingkat mengikut tarikh temu duga. Bagi calon yang berjaya dalam urusan tersebut, surat tawaran perlantikan akan dikemukakan terus kepada calon. Keputusan boleh di semak di link tersebut :



Setakat ini tarikh temu duga yang boleh di semak :

25 Feb 2013 - 1 Mac 2013

Untuk tarikh di bawah akan Ustazah update setelah semakan telah di buka oleh SPP :

5 Mac 2013 - 8 Mac 2013
11 Mac 2013 - 15 Mac 2013
19 Mac 2013 - 22 Mac 2013
26 Mac 2013 - 28 Mac 2013

17 April 2013 - 19 April 2013
 



Ahad, 5 Mei 2013

Bismillah

Assalamualaikum dan semoga sahabat sentiasa mendapat kerahmatan daripada Allah SWT. Syukurilah nikmat Islam dan iman yang dianugerahkan Allah SWT kepada kita, bajailah ia selalu dengan mengingati Nya dan berbuat baik sesama manusia.

Kali ini ustazah mendapat tempahan kek sifon Sunquick oren daripada Ustazah Maskhita yang menyambut hari lahirnya . Kek ini sungguh lembut, gebu, rasa lemak dan paling istimewanya rasa oren Sunquick yang masam- masam manis dan menyegarkan.

Baiklah bagi sesiapa yang ingin mencuba kek ini silalah rujuk resepi di bawah:

Kek Sifon Oren Sunquick

Bahan A

6 biji putih telur
150gm gula halus
1/4 cream Of tar tar

Bahan B
6 biji kuning telur
150 gram gula halus
100gm santan kelapa kotak
100gm air
55gm Minyak jagung
6 sudu makan Sunquick oren
Sedikit pewarna oren

Bahan C

240gm tepung kek
1/2 sudu makan baking Powder

Cara membuatnya.

1. Pukul putih telur menggunakan kelajuan yang tinggi sehingga gebu dan masukkan gula dan cream Of tar tar. Pukul seketika hingga sebati.

2. Menggunakan mangkuk lain pukul kuning telur dan gula hingga gebu. Masukkan santan, air, minyak jagung, Sunquick dan pewarna serta sebatikan.Kemudian masukkan bahan C satukan hingga sebati dan halus adunan ya.

3. Kemudian satukan bahagian no.1 dan no.2. Gaulkan mengikut arah jam hingga sempurna sebati. Letakkan dalam loyang 10.5 inci tanpa digris dengan planta. Jika digris akan mengakibatkan kek tidak menjadi.

4. Bakar pada suhu 180 darjah dalam 45 minit. Setelah masak terbalikkan kek supaya kek tidak turun..setelah sejuk bolehlah kek dihias mengikut cita rasa.

SELAMAT MENCUBA




Khamis, 2 Mei 2013

Bismillah

Assalamualaikum dan didoakan semoga para pembaca di dalam kerahmatan Allah SWT.

Merasa kek yang dihasilkan oleh rakan sejawat Pn. Nor Asmawati sungguh sedap dan cukup lembab walau tanpa disiram dengan coklat ganache. Ustazah pun minta jasa baik padanya supaya berkongsi resepi . Semoga bermanfaat perkongsian ini.

Bagi sesiapa yang ingin mencuba kek ini silakan dan sila rujuk resepi di bawah :

Bahan A

3/4 cawan koko Powder
1/2 cawan susu pekat manis
1 cawan minyak masak
1 kotak kecil susu coklat Dutch Lady ( anggaran secawan )
1 cawan gula perang

Bahan B

1 1/4 cawan tepung gandum
1 sudu teh soda bikarbinat
1 sudu teh baking Powder

Bahan C

3 biji telur gred B

Cara membuatnya :

1. Satukan bahan A hingga sebati dan tak perlu menggunakan mesin pemutar.

2. Ayak bahan B dan satukan dengan bahan A.

3. Pukul telur hingga gebu dan satukan ke semua bahan.

4. Masak sebentar di atas api sederhana hingga terasa suam.

5. Griskan loyang, tuang adunan kek dan ditutup dengan aluminium foil. Kukus selama 45 minit sehingga masak.

Selamat mencuba..in sha Allah jadi.

~ gambar 1 beratnya 2 kg~
~ gambar 2 berstawberry beratnya 1.3 kg ~



Rabu, 1 Mei 2013

Bismillah

Assalamualaikum dan Alhamdulillah hari ini dapat masak tengahari untuk anak2 dan ibu mertua. Sempat menyiapkan adunan Kek Sifon Pandan Blueberry untuk mantan pengetua. Simple sahaja sayur untuk hari iaitu Tumis Kacang Pancang yang dicampurkan dengan sotong dan tahu...

Resepi ini mudah sangat murid darjah 6 pun boleh buat..

Bahan- bahannya :

Bahan A

10 Batang kacang panjang
1 batang sederhana Carrot
3 ekor sotong
2 biji tahu
1 biji cili basah
Bahan B

6 biji cili api
3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
10 gram ikan bilis
Garam secukup rasa

Bahan C
Minyak untuk menumis
1 sudu kecil gula.

Cara penyediaan :

1. Patahkan kacang panjang, potong sotong saiz sederhana dan tahu dipotong dadu.Carrot juga dipotong ikut kegemaran .

2. Bahan B ditumbuk menggunakan lesung batu.

3. Panaskan minyak dan masukkan bahagian B dahulu tumis hingga naik bau dan masukkan sotong hingga lembut.

4. Masukkan Carrot, kacang panjang dan tahu..masukkan gula dan jangan terlalu lama supaya kacang panjang tidak terlalu lembut..

Siap untuk dihidang..selamat memasak





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Hadith Pilihan

Sahabat Blog

Jom Kita Bersilaturrahim