Selasa, 25 Disember 2012

 8:20 PG         1 comment
Alhamdulillah was Solatu wassalamu a`la Sayyida Muhammad wa a`la alihi wa sohbihi ajma`in..

Mudahakan Ya Allah urusan ku dalam mendidik mereka..(dr kanan ;Hafsah Hafizah , Farah Fathehah & Mumtazah )

Hamka cilik..semoga besar nanti menjadi seperti ulama Hamka..itulah harapan disebalik nama yang diberi

Apabila membaca pesanan daripada Prof. Mohd Kamil Ibrahim  berkaitan hadis Nabi bahawa ibu bapa adalah pencorak watak anak2..Alhamdulillah anak2 masih kecil dan peluang untuk melentur mereka di tahap yang mudah..kadang2 terasa lemah juga sementelah diri adalah ibu tunggal..menguruskan mendidik anak2..pengurusan kewangan dan mcm2 lagi..tetapi diri terasa gagah apabila teringatkan Imam Shafiie adalah anak yang dibesarkan oleh ibu tunggal. Bagi yang senasib seperti saya janganlah kita patah semangat walau suami telah tiada..yakin bahawa Allah telah memilih kita dan kita adalah mereka yang mempu untuk menerima ujian ini..cari ilmu dan jangan lupa diamalkan mengikut kemampuan..Janji Allah sentiasa benar dan yakinlah..Baiklah saya memang suka sangat membaca laman web Prof Kamil Ibrahim dan kali ini saya ingin kongsikan catatan Prof. Mohd Kamil Ibrahim yang kini tinggal di Madinah sebagai perkongsian yang amat bermakna buat diri saya terutamanya..

Hadis 11: Kami Ibu bapa mu
 (Petikan dari Kitab Hadis Moden yang sedang ditulis. Semoga Allah permudahkan urusan penulisan kitab kecil ini dan ia menjadi ilmu yang bermanfaat)

"Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah suci bersih. Kedua orang tuanyalah yang membuatnya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi".

Alhamdulillah, Subhnallah, Allahu Akbar. 

Hadis ini jelas menunjukkan tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak. Ketika dilahirkan mereka – anak-anak – ibarat kain putih.  Kita – ibu bapa – mencorakkan warna kain putih tersebut dengan pelbagai warna. Namun akhirnya warna-warni yang terhasil biarlah membawa mereka menjadi anak yang soleh dan solehah. Membaca, mempelajari dan benar-benar mahu menghayati hadis ini boleh menyebabkan air mata gugur membasahi pipi. Hati tertanya-tanya, "Ya Allah, sempurnakah tanggungjawab ku terhadap anak-anak?". Terasa berat beban di bahu. Minda sentiasa berfikir, "selamatkah mereka dari siksa kubur dan api neraka? Bertemu semulakah kami semua di syurga Firdaus?".  

Anak anugerah Allah. Saya masih dapat membayangkan kegembiraan apabila dimaklumkan isteri hamil setelah hanya beberapa bulan diakad nikah. Isteri termenung. Barangkali penerimaannya berbeza. Beliau baru berusia 22 tahun dan hidup pada abad ke 20 di mana banyak perkara dilambatkan. Ramai rakan sebaya yang kahwin lewat usia, mempunyai anak ketika usia tidak terlalu muda dan beristilah, "nikmati usia muda sebelum berkeluarga". Agakan saya, isteri juga mahu menikmati usia awal perkahwinan – berbulan madu – berdua tanpa kehadiran sesiapa. Ia kisah berjumpa doktor kerana demam, muntah dan pening-pening. Alangkah terkejutnya bila dimaklumkan, "tahniah, awak sudah berbadan dua". 
Manusia hanya boleh merancang. Namun Allahlah yang menentukan rezeki anak sebagaimana yang dinyatakan olehNya melalui ayat 49-50 surah Asy-Syura yang bermaksud,"Dia memberikan anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki, atau Dia menganugerahkan kedua jenis lelaki dan perempuan (kepada sesiapa yang dikehendakiNya), dan Dia menjadikan mandul sesiapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa". 

Saya terlalu gembira dengan berita tersebut kerana bakal menerima zuriat. Ia ego seorang lelaki. Tidak tertanggung rasanya jika saya dikelaskan sebagai lelaki mandul. Itulah fikiran di kala tersebut sebelum bertemu ayat di atas. Namun kegembiraan tersebut tentu sekali tanpa memikirkan betapa anak merupakan anugerah Allah yang disertai dengan tanggungjawab khusus. Ia satu amanah. Lalu – pastinya – menerima dan membesarkan anak-anak tidak boleh mengikut selera atau acuan sendiri. Ia wajib mengikut arahan Pemberi Amanah. Allah SWT telah memberi amaran yang sangat keras melalui surah At-Tahrim ayat 6 yang bermaksud,"Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya pula malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan".

Allahu Akbar. Saya mempelajari dan mahu mengamalkan hadis di atas ketika hanya sesudah beranak empat. Allah SWT telah menganugerahkan kami dengan dua pasang anak yang sihat sejahtera. Setiap pasang jarak umur mereka hampir 10 tahun. Maksud saya, mereka merupakan anak-anak yang hidup dalam dua tempoh waktu berasingan. Namun mereka cukup segalanya. Kempat-empat mereka merupakan anak-anak yang menyerikan kehidupan kami sekeluarga. Lalu logik kehidupan sangat mudah. Kami mahu mereka berjaya di dunia dengan memastikan kesemuanya mendapat didikan akademik paling sempurna. Kami juga berharap ustaz dan ustazah di sekolah agama memberi didikan secukupnya agar mereka memahami asas agama Islam. Agak saya ia sudah memadai.

Saya anggap mereka tahu bersolat. Tentu sekali mandi wajib telah diajar di sekolah. Apatah lagi dengan segala ilmu fardhu kifayah dan fardhu Ainnya. Bukankah itu sudah tersedia di dalam sukatan mata pelajaran sekolah-sekolah di Malaysia. Saya tidak pernah memanggil anak-anak berkata dan bertanya, "tolong baca al-Fatihah, bacaan semasa tahayat akhir atau bacaan ketika sujud dan ruku'. Kamu faham makna al-Fatihah?". Tidak, ia tidak pernah berlaku. Malah sebelum akil-baligh atau diperingkat awal remaja, solat bukanlah sesuatu yang diutamakan. Ia tidak pernah dikisahkan seumpama membuat kerja rumah atau menghafal sifir. Jauh sekali untuk mengajak anak-anak solat berjemaah di masjid. Tidak timbul langsung mengajak atau mengajar mereka solat sunat Rawatib atau berpuasa Isnin dan Khamis. Saya tidak tahu mereka mengetahui atau tidak fadilat solat Tahayatul Masjid.
Tentu sekali tidak sampai makam kami untuk berkata kepada anak-anak sebagaimana lafaz Luqman semasa beliau memberi nasihat kepada anak-anaknya,
"Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.
Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya) kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi.

Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.

Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai". 

Malah kami tidak pernah terfikir untuk memanggil anak-anak dan berpesan seperti Nabi Ibrahim dan Nabi Yaakub lakukan kepada anak-anak mereka sebagaimana yang diceritakan oleh Allah SWT melalui surah al-Baqarah ayat 132-133 yang bermaksud,
"Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam.
(Demikianlah wasiat Nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi)! Kamu tiada hadir ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika dia berkata kepada anak-anaknya: Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati? Mereka menjawab: Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan Yang Maha Esa dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman)".

Tentu sekali menyembah Allah bermakna mengikut segala suruhan dan meninggalkan segala laranganNya. Allahu Akbar, kami mohon keampunan Mu ya Allah. Namun saya tidak fikir yang kami berseorangan di dalam membiarkan pendidikan agama anak-anak diuruskan oleh orang lain. Terkelip-kelip mata saya mendengar keluhan seorang bijak pandai universiti bercerita, 
"Anak saya sudah berusia 18 tahun. Suatu hari saya bertanya makna surah al-Fatihah. Anak saya tidak tahu Saya hairan dan kecewa. Apakah yang dilakukan oleh ustaz-ustazah di sekolah".
Malah tidak tergamak mendengar kemarahan seorang bapa mencela tindakan atau arahan ustaz – di universiti tempat saya pernah bertugas – yang mahu para pelajarnya menutup aurat di dalam kelas. "Saya sendiri tidak pernah memaksa anak-anak saya memakai tudung. Ini hak peribadi. Tiada siapa yang boleh memaksa anak-anak saya bertudung".
Tentu sekali agak luar biasa mendengar cerita ibu-ibu di Luar Negara – misalnya di Arab Saudi – yang bersungut tentang kesukaran pendidikan agama anak-anak. Perasaan tidak yakin dengan ilmu agama yang ada, keengganan untuk membuka kembali buku untuk belajar dan mengajar anak-anak menjadikan masa berlalu bergitu sahaja. Alih-alih anak terus membesar tanpa mempunyai asas pengetahuan agama yang kukuh. Namun ada yang terlupa – rupa-rupanya – mereka merupakan ustazah yang mengajar ilmu agama di Malaysia.

Saya tidak tahu warna apakah yang telah saya corakkan kepada sehelai kain putih bersih sehinggalah kami ternampak ia bertompok-tompok dengan warna yang tidak enak dipandang mata. Namun ketika Allah SWT memberi kesedaran betapa hidup di dunia hanyalah sementara, kami cuba membetulkan kembali warna-warna yang telah kami pilih sebelumnya. Misalnya, saya mula memaksa, mengajak dan berdoa agar anak-anak lelaki supaya solat berjemaah di masjid. Ia bukan satu pilihan mewah. Hampir kesemua hadis-hadis yang saya pelajari berkaitan kepentingan solat berjemaah disampaikan kepada mereka dengan cara bersungguh. Lalu pada 1/3 malam tersisa saya memohon kepada Allah SWT agar hati mereka terbuka untuk menunaikan ajakan yang tidak henti-henti dari seorang ayah yang mempunyai masa sisa yang terbatas.

Malah saya mahu pastikan anak-anak perempuan tahu menutup aurat dengan sempurna. Tanda aras kesempurnaan pakaian ialah ia boleh dibawa mengadap Allah SWT. Tentu sekali ia tugas sukar setelah bertahun-tahun mereka membesar dalam suasana masyarakat dan keluarga yang tidak mementingkan kesempurnaan ini. Misalnya, begitu ramai anak gadis memakai tudung kepala tetapi berlenggang-lenggok dengan t-shirt dan seluar jeans yang sendat. Lalu saya mengambil kesungguhan untuk menerangkan hakikat sebenar suruhan dan larangan Allah SWT.

Begitulah. Saya menginsafi betapa amaran – Yahudi, Majusi dan Nasrani – terpikul dibahu seorang ayah. Saya seorang ayah. Lalu saya berpesan kepada anak-anak yang dicintai, "Wahai anakku, jika ayah terkhilaf dalam mendidik mu, jangan pula kau turuti untuk anak-anak mu. Ajarlah mereka sebagaimana Luqman, Nabi Ibrahim dan Nabi Yaakub berpesan kepada anak-anak mereka. Mungkin, ingatkan juga beberapa ajakan dan pesanan ayah yang sempat ayah titipkan sebelum ayah pergi buat selamanya. In'sya Allah, kita bertemu di Firdaus".
Kami mohon keampunanMu ya Allah.

Nota Hadis: Hadis riwayat Imam Muslim pada sohihnya melalui kitab: Qadar. Ia terkandung dalam bab: Semua anak yang lahir, lahirnya atas fitrah. Nombor hadis 2658.


Terima kasih Prof..atas catatan harian dan tazkirah..semoga Allah terus mengurniakan kekuatan dan semangat pada Prof utk menyampaikan ilmu yang begitu bermanfaat utk saya dan mereka yang sentiasa dahagakan ilmu..

1 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Hadith Pilihan

Blog Archive

Sahabat Blog

Jom Kita Bersilaturrahim