Sabtu, 15 Disember 2012

 2:48 PTG         3 comments
Bismillah saya memulakan coretan biar ada keberkatan kepada penulisan dan kesan pada pembacaan..
Coretan ini saya wariskan utk anak2 tersayang dan bagi mereka yang suatu nanti bakal mendirikan rumah tangga..
Jika ibu tiada lagi..sekurang2nya ibu ada meninggalkan panduan utk anak2 yang tersayang agar memilih jodoh menurut sunnah Nabi yang tercatat dalam buku Pendidikan Anak-Anak Menurut Islam karangan Abdullah Nasih `Ulwan..jika kita ikuti keluarga yang terbentuk akan melahirkan  anak-anak boleh mencapai kemuncak keimanan yang mendalam, tubuh badan yang sihat, kelakuan yang baik, akal fikiran yang dewasa dan juga perasaan jiwa yang tenteram, bersih dari segala gangguan...


Antara Panduan atau Kaedah Memilih Jodoh :

1. Pemilihan berdasarkan Agama.

Faham tentang Islam dan mengamalkan serta melaksanakan segala ajaran tingkahlaku serta peradaban yang halus. Nabi SAW telah memberi panduan kepada sesiapa yang ingin berkahwin agar memilih perempuan yang beragama. Isteri yang beragama akan menjalankan kewajipan terhadap hak suami, anak2 dan rumah tangganya mengikut apa yang telah diperintahkan oleh agama Islam dan digalakkan oleh Rasulullah SAW.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : Perempuan dikahwini atas empat sebab : kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Pilihlah perempuan yang beragama, nescaya kamu akan diberkati Allah.
( Riwayat al- Bukhari, Muslim dan lain-lain )

Sejajar dengan itu, Rasulullah SAW juga menasihati keluarga si gadis supaya memilih bakal suami anaknya dari kalangan lelaki yang beragama serta berakhlak mulia. Melaksanakan kewajipannya terhadap keluarga. Contohnya lelaki yang mengambil berat kedua ibu bapanya, rajin solat berjemaah, tidak mengajak kita untuk berbuat maksiat dan murah hati serta seorang yang ahli masjid. Inilah ciri pemimpin yang kita cari untuk anak gadis kita.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Kalaulah kamu didatangi oleh sesiapa yang kamu boleh menerima agamanya serta akhlaknya, kamu mesti membenarkannya mengahwini anak-anak perempuan kamu. Jikakalau tidak berbuat demikian nescaya satu fitnah besar akan berlaku di bumi serta menjadi keburukan dan kerosakan yang berleluasa. ( Riwayat Tirmizi )

Jadi memilih pasangan dengan berasaskan agama dan akhlak yang mulia merupakan satu faktor yang amat penting bagi menjamin kebahagiaan lengkap dan beriman kepada kedua suami isteri.Ia boleh menjamin pendidikan Islamiah serta mulia kepada anak-anak. Begitu juga boleh menjamin maruah yang berkekalan di samping ketenteraman yang dihendaki kepada keluarga.

2. Pemilihan berasaskan asal usul dan kemuliaan.

Bagi memilih suami atau isteri sebagai bakal teman hidup itu mestilah daripada keluarga yang berketurunan baik, soleh, berakhlak mulia, bermaruah berasal usul sejati. Hal ini adalah perlu kerana manusia berbeza-beza dari segi kehinaan, kemuliaan, keburukan dan kesolihan.

Rasulullah ada bersabda : Jangan dekati tumbuh-tumbuhan hijau di tempat kotor. Lalu bertanyalah para pendengar kepada Rasulullah;" Apa dia tumbuhan hijau di tempat kotor, wahai Rasulullah?" Baginda menjawab : " Perempuan cantik yang membesar di rumah yang penuh kejahatan serta keburukan". ( Riwayat al-Darulqutni,al-Askari dan Ibnu Adi )

Sabda Rasulullah SAW : Berkahwinlah dari wanita yang salih, sesungguhnya baka keturunan sangat mudah berjangkit (diwarisi menurun )

3. Perkahwinan dengan orang lain ( tidak ada pertalian saudara )

Antara cara memilih bakal isteri yang amat bererti menurut ajaran Islam yang mulia ialah mengutamakan perempuan2 yang asing, iaitu mereka yang tidak mempunyai pertalian saudara dan kekeluargaan bagi memelihara kecerdikan anak, menjamin keselamatan tubuhnya daripada penyakit2 serta kecacatan yang boleh berlaku secara turun temurun, meluaskan lapangan perkenalan dan kekeluargaan dan juga menguatkan hubungan kemasyarakatan.

Jadi tidak hairanlah kita dapati Rasulullah SAW memperingatkan supaya menjauhkan dari mengahwini mereka yang mempunyai hubungan persaudaraan atau kekeluargaan bagi menjauhkan anak dari kelemahan dan mempusakai kecacatan ibu bapanya atau penyakit nenek moyangnya. 

Antara peringatan Baginda SAW ialah sabdanya yang bermaksud : Janganlah menikah dengan kaum kerabat, kerana anak dari pernikahan itu akan membesar kurus, lemah tubuh badannya dan tidak cerdik.

4. Mengutamakan mereka yang dara.

Ini kerana bagi melindungkan keluarga itu dari apa yang boleh mengeruhkan suasana  hidupnya serta boleh membabitkannya dalam permusuhan dan pertengkaran yang boleh menyebabkan  berbagai-nagai masalah.

Pada masa yang sama perkahwinan itu boleh mengeratkan hubungan kasih sayang antara kedua suami isteri disebabkan tabiat semula jadi anak dara, perasaan kasih sayang serta kemesraan terhadap orang pertama dalam hidupnya sebagai suami yang dikenali serta berhubungan rapat dengannya.  Sebaliknya dengan perempuan yang pernah berkahwin        (janda) kemungkinan ia tidak mendapati pada suami kedua kemesraan yang cukup,kasih sayang dan hubungan rapat dan jujur antara kedua-dua hati mereka, semua boleh terjadi disebabkan perbezaan yang besar antara tindak tanduk, akhlak suami pertama dan layanan suami kedua.

Rasulullah SAW pernah menyebut mengenai hikmat2 bagi mengahwini anak2 dara. Sabda Baginda SAW yang bermaksud : Kahwinilah anak-anak dara, sesungguhnya mereka ini selalu berkata dengan baik, lembut lembut, kemungkinan kesuburan mereka amat besar (mendapat anak), kurang tipu helah mereka (jujur) dan mudah reda dengan yang sedikit. (Riwayat Ibn Majah dan al-Baihaqi ) 

Tetapi Rasulullah juga ada bersabda yang bermaksud :  Rasulullah telah bertanya kepada Jabir sekembalinya dari peperangan Zat al-Riqa`, "Wahai Jabir: Adakah kamu sudah kahwin atau belum?" Jawabnya Jabir :" Sudah wahai Rasulullah". Rasulullah bertanya lagi " Adakah isteri kamu anak dara atau pernah berkahwin (janda)". Jabir jawab;" Tidak. dia pernah berkahwin (janda)". Lalu Rasulullah berkata:" Alangkah baiknya mengahwini anak dara yang boleh bergurau dengan kamu dan kamu boleh bergurau dengannya". Jabir terus berkata: " Wahai Rasulullah, sesungguhnya bapa saya telah mati di peperangan Uhud dan dii saya tinggalkan tujuh adik perempuan, jadi saya telah berkahwin dengan seorang perempuan yang boleh menguruskan hal mereka serta dapat menanamkan perasaan persefahaman antara mereka".Jawab Rasulullah SAW : " Tindakanmu adalah betul. dan tepat inshaa Allah".
(Riwayat Bukhari, Muslim dan lain-lain )

Dari hadith Jabir kita boleh memahami bahawa pada sesuatu masa dan kerana sesuatu keadaan, kadang2 perkahwinan dengan perempuan yang pernah kahwin lebih diutamakan daripada perkahwinan dengan anak dara, sebagaimana hal Jabir RA yang baru disebut bagi kerjasama menjaga serta memelihara anak-anak yatim itu, supaya melaksanakan ajaran Allah sebagaimana dalam firman-Nya yang bermaksud : dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa. ( al-Maidah:2)

5. Mengutamakan perkahwinan dengan perempuan yang subur.

Antara ajaran Islam dalam pemilihan bakal isteri ialah dari perempuan yang boleh banyak beranak dan ia boleh dikenali dengan dua tanda :

1. Tubuhnya selamat daripada penyakit2 yang boleh menghalang proses penghamilan. Dalam hal ini pemeriksaan doktor2 pakar diperlukan.

2. Supaya melihat hal keadaan ibunya dan juga adik beradiknya yang sudah berkahwin. Kalau mereka ini dari jenis banyak beranak, besar kemungkinan dia begitu juga.   

Ini semua merupakan satu di antara tunjuk ajar Baginda Rasulullah SAW bila ia ditanya oleh seorang lelaki yang berkata :"Wahai Rasulullah, saya telah jatuh cinta dengan seorang perempuan yang berketurunan baik, berkedudukan dan kaya, ia tidak boleh beranak, adakah boleh saya berkahwin dengannya?" Terus Rasulullah SAW melarangnya. Kemudian lelaki itu datang dan bertanya kepada Rasulullah kali kedua, Rasulullah menjawabnya sama dengan yang pertama. Lelaki itu datang dan bertanya kali ketiga, Rasulullah menjawabnya dengan sabdanya yang telah diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Nasa`i dan al-Hakim yang bermaksud :" Berkahwinlah dengan perempuan yang boleh banyak beranak serta bersifat lemah lembut dan bermesra, sesungguhnya Rasulullah akan bermegah dengan kamu terhadap umat-umat.

Begitu juga pada zaman kini keluarga si gadis perlu menyelidiki bakal calon suami adakah kesihatannya bebas daripada penyakit2 berbahaya, keturunan yang baik dan berakhlak serta bolehkah ia memimpin solat berjemaah dan mempunyai ciri2 yang digariskan dalam Islam. 

Nampaklah di sini sebelum melangkah ke alam perkahwinan betapa pentingnya penelitian sebelum sesorang anak teruna atau gadis  jatuh cinta . Teliti dahulu baru jatuh cinta..janganlah jatuh cinta dahulu yang akhirnya kita tidak mengikut panduan yang ditetapkan oleh ajaran Islam. Semoga panduan yang dititipkan dapatlah membantu ibu bapa mendidik anak dalam memilih pasangan..begitu juga bagi pasangan yang ingin berkahwin...berfikirlah sebelum melakukan tindakan agar perkahwinan yang dibina bahagia hingga ke syurga...

Salam ukhwah daripada ustazah Ain.com..peringatan utk diri dan sahabat2 yang dirahmati Allah.. 
   
 










3 ulasan:

  1. Jazakallahukhairan kathira ustzh..mudh2han dikurniakan plhn yg tepat drpd Allah..mohon doakan sy ye ustazah..

    BalasPadam
  2. utk mendpt jodoh yg baik sebenarnya kita perlu perbaiki diri kita dahulu ke arah yang lebih baik..berdoalah..In shaa Allah ustzh doakn..

    BalasPadam
  3. mudah2an kita dapat jodoh yg baik, istikaroh dan serahkan semua padaNya

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Hadith Pilihan

Blog Archive

Sahabat Blog

Jom Kita Bersilaturrahim