Isnin, 17 Disember 2012

 4:10 PTG         No comments
Allahu Akhbar Allahu Akhbar..Alhamdulillah dikurniakan cahaya mata..
Saat pertama kali menatap wajah zuriat kita..betapa indahnya pengalaman itu..
Pasti kesakitan yang kita rasai rasa hilang seketika ..
Betapa lembut dan mulusnya kulit..
Betapa comelnya ia..
Satu anugerah..
Satu aset..
Utk membawa kita ke syurga atau ke neraka..
Kita lah pencoraknya..
Pasti Al-Quran dan Al-Hadith..
Pedoman kita Ibu bapa..
Antara keistimewaan syariat Islam ialah ia telah menjelaskan segala hukum yang bersangkutan dengan anak yang baharu dilahirkan. Begitu juga apa yang berhubung dengannya dari prinsip-prinsip pendidikan yang penting, supaya pendidik boleh memahami dengan baik dan boleh mempunyai petunjuk dan hidayat dalam melaksanakan segala kewajipan, ke atas setiap orang yang mempunyai tanggungjawab pendidikan, ia pasti melaksanakan dengan sempurna, berdasarkan asas-asas yang telah ditentukan oleh Islam dan juga mengikut prinsip-prinsip yang telah dicorakkan oleh Nabi Muhammad SAW. Berikut saya titipkan hukum-hakam yang patut dilaksanakan oleh para ibu bapa/pendidik semasa berlaku kelahiran :

1. Melahirkan rasa gembira dan ucapan tahniah.
 Seseorang Muslim amat digalakkan untuk bersegera serta menyampaikan berita baik kepada saudara muslim yang lain jika saudaranya itu mendapat cahaya mata. Dengan demikian, bertambah kuat hubungan, mengeratkan tali persaudaraan,menyebarkan perasaan muhibbah serta kemesraan dikalangan keluarga Islam. Alhamdulillah kini medium ICT seperti FB, twitter, blog dll ada..maka gunakan peluang ini utk menyebarkan khabar gembira ini.

Al-Quran telah menyebut penyampaian berita baik mengenai anak dalam banyak ayat supaya ia menjadi satu ajaran serta teladan kepada umat Islam, memandangkan kesan yang amat baik. 

Firman Allah SWT mengisahkan Zakaria AS [surah Maryam:7] dan kisah Nabi Ibrahim AS [ Surah Huud :71] :


 Selain itu, Al-Suhaili menyebut bahawa al-Abbas telah berkata:" Selepas satu tahun kematian Abu Lahab, saya bermimpi melihatnya dalam keadaan yang paling teruk. Dia berkata kepada saya. " Selepas saya tinggalkan kamu, saya tidak pernah merasai kerehatan langsung, kecuali pada tiap-tiap Isnin, azab seksa ini akan diringankan di atasku ". Hari itu ialah hari kelahiran Muhammad SAW di mana Suwaibah telah membawa berita yang menggembirakan ini kepada Abu Lahab [tuannya] dan Abu Lahab menjadi amat suka dengan berita itu.

Melahirkan rasa gembira serta ucapan tahniah patut meliputi setiap anak yang lahir sama ada dia lelaki atau perempuan dengan tidak membeza2kan..marilah kita berusaha menuju ke arah jalan yang boleh membawa mereka mencapai kemesraan, kerjasama dan kesatuan. Bagi kita sentiasa menjadi hamba Allah yg bersaudara dan bersatu sebagai bangunan yang disusun2, tiap2 satu menguatkan yang lain.

2. Azan dan Iqamat

Islam telah mensyariatkan azan di telinga kanan dan Iqamat di telinga kiri bayi sebaik sahaja dilahirkan. Abi Rafi`berkata :" Saya telah melihat Rasulullah SAW melafazkan azan ke telinga Hassan bin Ali sebaik sahaja Fatimah melahirkannya."
  
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud ;" Sesiapa yang dikurniakan cahaya mata dan dia azan pada telinga kanannya dan iqamah pada telinga kirinya, nescaya dia tidak akan mendapat apa-apa mudarat dari "ummu al-Subyan"
( Riwayat al-Baihaqi dan Ibnu  al-Sunni)

Antara faedah atau rahsia azan dan iqamat, Ibn al-Qayyim al-Jauziyah menyebut dalam kitabnya Tuhfat al-Maudud, biarlah kata-kata yang pertama didengar kepada manusia ialah kata-kata panggilan Ilahi yang mengandungi sifat ketinggian-Nya serta kebesaran-Nya. Syahadat juga merupakan tanda masuknya seorang anak ke dalam Islam.Tidak ditolak kemungkinan sampainya kesan azan itu ke hati bayi walau pun dia tidak merasakannya.

Selain itu faedah azan dan iqamah : 
1.Menjauhkan syaitan yang menunggu kelahiran bayi. 
2.Azan adalah kalimat-kalimat yang boleh melemahkan syaitan pada saat mula-mula ia cuba bergantung kepada bayi itu.
3. Panggilan ke jalan agama Allah serta beribadah kepada-Nya akan mendahului panggilan syaitan.

Penjelasan Ibn Qayyim Rahimahullah dengan cara terperinci ini, merupakan bukti yang jelas tentang perhatian yang diberikan oleh Rasulullah SAW kepada akidah (kepercayaan) tauhid dan iman serta memburu syaitan dan hawa nafsu mulai saat pertama anak itu lahir ke dunia ini dan bermula dari nafasnya yang pertama.


3. Melakukan tahnik.


Tahnik ialah mengunyah satu biji buah tamar dan mengambil sebahagian darinya di atas hujung jari, masukkan jari itu ke dalam mulut bayi dan digosokkan kiri dan kanan dengan gerakan yang lembut sehingga kurma yang dikunyah itu sampai ke seluruh bahagian mulut bayi itu.


Hikmat perbuatan itu ialah bagi menguatkan urat-urat mulut dengan gerakan lidah semasa melakukan tahnik dan menggosokkan gusi untuk menyediakan bayi itu menghisap susu ibunya dengan cara tabi`i dan kuat. Orang yang melakukan tahnik itu, diutamakan orang yang bertaqwa dan solih untuk mendapat keberkatan, semoga bayi itu akan mengikut kesolihan serta ketaqwaannya.

Antara hadith yang telah dijadikan dalil sunatnya ialah : 

Abu Musa RA berkata, " Saya telah mendapat seorang anak lelaki, kemudian saya membawanya kepada Rasulullah SAW Baginda menamakannya Ibrahim, dan melakukan tahnik dengan sebiji kurma. Baginda juga telah mendoakannya semoga diberkati Allah. Selepas itu barulah baginda berikan balik kepada saya ".
( Maksud hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim )


4. Mencukur kepala.

Satu perkara yang telah disyariatkan oleh Islam kepada anak-anak yang baharu dilahirkan ialah mencukur kepalanya pada hari ketujuh. Di samping itu disunatkan juga bersedekah dengan perak mengikut timbangan rambutnya kepada fakir dan orang yang memerlukannya. 

Hikmah mencukur kepala ini terbahagi kepada 2 :


Pertama: Hikmah berhubung dengan kesihatan.

Mencukur kepala bayi akan menguatkannya. Boleh membuka liang-liang roma dan juga boleh menguatkan pancainderanya iaitu daya lihat, daya hidu dan daya dengar

Kedua: Hikmah berhubung dengan hubungan kemasyarakatan.

Bersedekah perak seberat timbangan rambut bayi merupakan salah satu sumber takaful dalam masyarakat. Ia boleh menghapuskan kemiskinan dan juga boleh mengeratkan kerjasama, hubungan kasih sayang dalam sesuatu masyarakat.
Ibnu Ishak telah meriwayatkan daripada Abdullah bin Abi Bakar dari Muhammad bin Ali Hussin RA bahawa Rasulullah SAW telah mengakikahkan Hassan dengan seekor kambing. Baginda bersabda;" Wahai Fatimah cukurlah kepalanyya, dan bersedekahlah dengan perak mengikut timbangannya". Lalu Fatimah menimbangnya, didapati timbangannya lebih kurang satu dirham.

Satu cabang dari mencukur ialah qaza`, iaitu mencukur sebahagian kepala kanak-kanak itu dan meninggalkan sebahagian yang lain. Larangan melakukannya telah  disebut dengan terang dan jelas dalam hadith yang dibawa oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Abdullah bin Umar RA yang berkata: "Rasulullah SAW telah melarang melakukan qaza` :

Terdapat 4 jenis qaza` yang dilarang :
1. Mencukur sebahagian kepalanya dan meninggalkan sebahagian yang lain.
2. Mencukur bahagian tengah kepalanya dan meninggalkan bahagian tepi.
3. Mencukur bahagian tepi kepalanya dan meninggalkan tengahnya.
4. Mencukur bahagian hadapan dan meninggalkan bahagian belakang.

Mengikut pendapat Ibn Qayyim : " ini semua disebabkan keadilan Allah SWT dan Rasul SAW. Manusia diperintahkan supaya berlaku adil walau pun terhadap  dirinya sendiri. Dia melarang manusia mencukur sebahagian kepala dan meninggalkan sebahagian yang lain. Begitu juga Dia melarang duduk antara tempat yang kena matahari dan tempat teduh kerana itu merupakan penzaliman kepada tubuh seseorang. Dia juga melarang seseorang berjalan dengan menggunakan sebelah kasut atau selipar tetapi hendaklah memakai kedua-dua belah.


Mencukur sebahagian kepala dan meninggalkan sebahagian yang lain adalah bertentangan dengan sifat-sifat kehormatan, kesopanan dan serta kecantikan. Di samping itu ia juga bertentangan dengan peribadi muslim yang sepatutnya boleh membezakan seorang muslim dengan penganut agama dan kepercayaan yang lain serta membezakan antara seorang mulim dari fasik yang tidak mempunyai pegangan dan rosak akhlaknya.

Jadi, para pendidik mestilah memberikan perhatian terhadap ajaran dan galakan-galakan ini. Melaksanakan satu demi satu terhadap anak2 mereka bagi mendapatkan keredhaan Allah dan keislaman mereka dengan kata-kata dan amalan-amalan. Mudah-mudahan anak kita sentiasa terhindar dari musuh no.1 iaitu syaitan laknatullah..

Sumber rujukan :Pendidikan anak-anak menurut pandangan Islam jilid 1 karangan Abdullah Nasih `Ulwan terbitan JAKIM







0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Hadith Pilihan

Blog Archive

Sahabat Blog

Jom Kita Bersilaturrahim